Home » Langit Terbuka » Sultan Perak mahu ajaran sesat termasuk terkait GISBH ditangani ke akar umbi – MB

Sultan Perak mahu ajaran sesat termasuk terkait GISBH ditangani ke akar umbi – MB

Saarani berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Negeri Perak Darul Ridzuan kepada atlet yang telah mencapai prestasi cemerlang dalam Temasya SUKMA dan PARA SUKMA XXI, Sarawak 2024 di Ipoh malam tadi. - Foto NSTP/L Manimaran

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu agar semua ajaran sesat termasuk yang dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) yang bertapak di negeri ini, ditangani sehingga ke akar umbi, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani yang turut memegang portfolio EXCO Agama Islam negeri berkata demikian ketika ditanya hasil sembah menghadap beliau kepada Sultan Nazrin kelmarin bagi mempersembahkan laporan mengenai aktiviti GISBH yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurut Saarani, Sultan Nazrin berpandangan isu ajaran sesat harus ditangani sehingga akar umbi disebabkan ia berkaitan dengan akidah, selain pengikutnya terdiri daripada kalangan mereka yang sedar malah sebahagian besar mereka mengikutinya di luar sedar.

“Insya-Allah kita akan buat yang terbaik kerana sebahagian besar daripada mereka yang mengikuti ajaran sesat itu adalah di luar sedar.

“Ada yang memang sedar (mengikuti ajaran sesat), namun ada yang di luar sedar. Jadi kita akan cuba mengambil tindakan untuk memulihkan balik akidah mereka,” katanya selepas program Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA, SUKMA XXI Sarawak2024 Kontinjen Perak di Hotel Kinta Riverfront, di sini, malam tadi.

Penyampaian insentif itu dibuat kepada atlet, pengurus, dan jurulatih bagi SUKMA dan Para SUKMA kontinjen Perak yang berjaya merangkul 129 pingat bagi SUKMA dan 67 pingat bagi Para SUKMA yang membabitkan nilai RM1.1 juta.

Saarani berkata, Sultan Nazrin akan mengambil tindakan dengan memanggil Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dan JAIPk bagi mengambil tindakan susulan termasuk untuk persidangan Majlis Fatwa Negeri Perak.

“Sudah tentu baginda Tuanku rasa bimbang (dengan kemunculan ajaran sesat di Perak). Oleh kerana baginda juga adalah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), jadi ia akan dibincangkan (lagi) secara mendalam,” katanya.

Sebelum ini pada 4 Oktober lalu, Saarani berkata segala tindakan terhadap premis kendalian GISBH di Perak termasuk menyita premis kendalian kumpulan itu hanya boleh diputuskan paling awal adalah pada Isnin lalu iaitu selepas laporan mengenainya yang disediakan JAIPk dipersembahkan kepada Sultan Nazrin.

Sebelumnya, beliau dilapor berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas pemulihan akidah pengikut GISBH atau Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut GISBH selepas perincian mengenainya diperoleh dan dipersembahkan kepada Sultan Nazrin.

Terdahulu, Saarani mengesahkan seramai 55 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah berjaya diselamatkan susulan serbuan dalam gerakan Op Global membabitkan rumah amal kendalian GISBH di Perak, setakat 26 September lalu.

Selain rumah amal, GISBH sebelum ini dilapor turut menjalankan dan mempunyai beberapa premis perniagaan di beberapa lokasi sekitar Perak antaranya di bandar raya Ipoh ini serta di Manjung.

Sebelum ini juga, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengesahkan kewujudan gerakan ajaran sesat Millah Abraham di sebuah daerah negeri ini namun dalam skala kecil, selain tular mengenai kawasan dusun dekat Slim River, Tanjung Malim yang dibangunkan kumpulan didakwa melakukan ritual menyeleweng syariat Islam.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *