Home » Langit Terbuka » Sultan Nazrin tegur pihak persenda institusi raja serta sensasikan isu agama dan kaum

Sultan Nazrin tegur pihak persenda institusi raja serta sensasikan isu agama dan kaum

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Penganugerahan Penerima Anugerah Darjah Kebesaran negeri Perak Sempena sambutan rasmi Ulang Tahun Ke-68 Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. FOTO L MANIMARAN

Kuala Kangsar: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan teguran kepada kalangan mereka yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja, selain gemar mensensasikan isu agama dan kaum.

Baginda bertitah, raja pemerintah berperanan menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa yang dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa.

Titah Sultan Nazrin, terlalu berharga untuk tamadun yang dibina, dibenar untuk dimusnahkan oleh perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi yang longgar pegangan adat dan kosong fahaman adabnya dengan bernafsu besar untuk memperkenalkan tatacara baharu, bersuara dan berkelakuan sumbang tidak bertempat, serta mempromosikan tingkah laku sangat bercanggah dengan kesopanan adat dan kehalusan adab.

“Di samping isu agama dan kaum yang disensasikan, semakin didengari suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja. Sesungguhnya raja pemerintah itu, berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Amat relevan, ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya. Belakangan ini perbuatan mahu mengetepikan adab malah memijak adat semakin dipelopori oleh kalangan yang buta huruf terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung, minda yang tidak ada akar budaya, lalu melanggar adab dan menyisihkan adat.

“Warga perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan budaya, dan ditolak secara total kata dan suara, tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat. Warga tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab – papa adat,” titah baginda,” titah baginda sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-68 di Balairung Seri, Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, negara kini sedang menghadapi perkembangan yang semakin mengancam perpaduan warganya apabila agama dan kaum dijadikan benang tenunan untuk menganyam hamparan politik, dan dijadikan mata wang yang sah untuk meraih laba politik.

Titah Sultan Nazrin, retorik-retorik atas nama agama yang keterlaluan serta slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif diumpamakan sebagai bara yang semakin menyalakan puntung dan unggun yang jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara.

“Dibimbangkan rakyat semakin disemaikan prasangka, disuntik racun curiga. Rakyat kelihatan semakin hilang kompas pedoman untuk menemui titik penyatuan. Negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan dan hikmah pimpinan, yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka, tidak berasa curiga, di sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini.

Titah baginda lagi, raja pemerintah yang bertakhta ialah simbol kedaulatan tanah air warisan Melayu yang berperanan sebagai benteng dan kubu pelindung agama Islam dan budaya Melayu, sekali gus memberikan keselesaan psikologi dalam minda umat Islam dan orang Melayu.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *