JOHOR BAHRU, 3 Nov. – Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menggesa kerajaan menjadikan sekolah rendah hanya memiliki satu aliran sahaja.
Baginda juga mahukan bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar, manakala bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib dan bahasa Mandarin serta Tamil menjadi mata pelajaran tambahan.
“Perubahan ini harus dilakukan di peringkat sekolah rendah kerana kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah mudah untuk dibentuk. Ibarat kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebung.
“Saya juga hairan macam mana masih ada rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu. Jika rakyat tidak boleh berkomunikasi dan memahami antara satu sama lain, bagaimana hendak hidup bersama,” titah baginda pada Perhimpunan Bangsa Johor di Stadium Tertutup Pasir Gudang, dekat sini petang ini.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan sama ada sekolah-sekolah vernakular menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, MCA – parti komponen Barisan Nasional (BN) – menentang penutupan sekolah vernakular dan menyifatkan banyak faktor yang menyebabkan perpecahan kaum.
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sekolah vernakular sering dipersalahkan secara tidak adil kerana tidak menggalakkan perpaduan nasional.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, juga dilaporkan pernah berkata sekolah vernakular menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di negara ini dan oleh itu, sebarang usaha untuk menutupnya adalah bercanggah dengan undang-undang.
Beliau berkata, sekolah itu dilindungi di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain menyebut bahawa walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, tiada sesiapa yang boleh dihalang daripada menggunakan bahasa lain untuk mengajar dan belajar.
“Oleh itu, sesiapa sahaja di negara ini yang mempunyai pandangan melampau dan hendak menghapuskan pendidikan (dalam bahasa ibunda), adalah melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. https://www.ismaweb.net/
KOMEN