KUALA LUMPUR – Membanteras masalah sosial terutamanya gejala dadah memerlukan usaha berterusan dan konsisten, selain kerjasama pelbagai agensi.
Menyedari hakikat itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 24 Ogos telah menyertai program berbentuk ‘Street Dakwah’, iaitu acara ‘Sukarelawan Eksplorasi Kota Kami Prihatin’ yang bertujuan menyantuhi beberapa golongan seperti gelandangan, penagih dadah, remaja berisiko dan sebagainya.
Selain YADIM, usaha ini turut disertai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Ihtimam, Persatuan Kebajikan Ronald Md Donald, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya.
Ia turut mendapat kerjasama Prasarana Negara Berhad yang menaja kemudahan pengangkutan para peserta menggunakan khidmat bas dan Sistem Transit Aliran Ringan.
Para peserta program terdiri dari ahli ahli badan bukan kerajaan, kakitangan agensi agama Islam Persekutuan serta sukarelawan dari luar Lembah Klang.
Antara objektif program ialah menghimpunkan para pendakwah untuk sama sama bergerak di lapangan, memberi hebahan dan penerangan bahaya gejala sosial pada remaja, memperkemas jaringan kerjasama antara badan bukan kerajaan, pihak korporat serta membawa pengalaman membina kemahiran berkomunikasi dengan golongan sasaran program.
Memandangkan para peserta juga terdiri daripada sukarelawan luar Lembah Klang, adalah diharap mereka akan dapat bawa balik pengalaman program ke tempat masing masing selepas selesai program.
Untuk program ini, YADIM turut menyumbangkan bahan bahan penerangan dan promosi untuk diagihkan kepada golongan sasaran.
Program dimulakan pada jam 9 pagi di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini, dengan sesi perkongsian pengalaman oleh pakar pakar dari AADK , JAKIM dan sebagainya.
Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang akan menyantuni golongan sasar di beberapa kawasan yang dikenal pasti seperti Chow Kit, sekitar pusat membeli belah Sogo dan Pertama, Pasar Seni, Kampung Baru dan sebagainya.
Para sukarelawan mula bergerak ke kawasan masing masing selepas majlis perasmian ringkas yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Datuk Dr Shahruddin Mohd Salleh.
Dengan menyantuni golongan sasaran tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan keturunan, program ini bertepatan dengan konsep rahmah yang diketengahkan kerajaan ketika ini.
Aktiviti menyantuni golongan sasar dalam program ini ternyata memberi pengalaman yang cukup bermakna kepada para sukarelawan, dan mengakui ia memberi pandangan baharu tentang bagaimana berhadapan dengan golongan sasar.
Para sukarelawan yakin, pengalaman ini juga akan dapat dipraktikkkan selepas pulang dan mengadakan program sama di tempat mereka.
KOMEN