Home » Citra Yadim » Sukarelawan Al-Falah YADIM Simbol `Jiwa Sukarelawan Itu Putih’

Sukarelawan Al-Falah YADIM Simbol `Jiwa Sukarelawan Itu Putih’

SUNGAI PETANI – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menerusi penubuhan pasukan Sukarelawan Al-Falah meneruskan usaha bagi menyemarakkan semangat kesukarelaan di kalangan umat Islam di negara ini terutama dalam melaksanakan aktiviti-aktivti dakwah.

Pada 14 Julai lalu telah berlangsung program khidmat sosial bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Bokbak, Baling dengan dikendalikan sendiri oleh pasukan Sukarelawan Al-Falah kampung berkenaan dengan diketuai oleh ketuanya, Abu Hasan Musa.

Sepanjang program berlangsung pelbagai aktiviti diadakan seperti gotong royong membersihkan dewan, memasak aneka juadah menggunakan buluh, `Ziarah Kasih’ dengan menyampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan harian kepada 10 buah keluarga asnaf setempat dan menyantuni beberapa penduduk yang menghidap penyakit kronik.

 

 

 

Sementara itu, Ketua Unit Sukarelawan Al-Falah, Bahagian Khidmat Komuniti dan Masyarakat YADIM, Abdul Qaiyum Aris berkata, Sukarelawan Al-Falah telah menjadi unit penting dalam penganjuran aktiviti kesukarelaan terutamanya mencerminkan Islam itu murni dan harmoni.

“Program Khidmat Bakti dan Ziarah Kasih Kampung Bokbak, Kupang, Kedah adalah  kesinambungan jiwa telus anak-anak muda yang menganggotai Sukarelawan Al-Falah,’’ katanya.

Beliau berkata, yang menariknya, program berkenaan telah melibatkan hampir keseluruhan masyarakat Kampung Bokbak tanpa mengira pegangan politik.

Secara ringkasnya, Sukarelawan Al-Falah bertindak sebagai agen dakwah di lapangan serta terbuka dalam menerima pendapat dan pandangan semua pihak demi kepentingan Islam.

Setakat ini, Sukarelawan Al-Falah mempunyai 10,000 ahli di seluruh Malaysia dan usaha sedang dibuat bagi menambah bilangan keahlian kepada 35,000 orang agar lebih banyak program khidmat bakti dapat dilaksanakan.

Keahlian SAF sentiasa terbuka kepada semua. Untuk yang berminat menyertai boleh menghubungi Ustaz Abdul Qaiyum di talian 03-88703870.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *