Home » Lagenda » Suhaib Bin Sinan: Demi Islam, harta ditinggalkan…

Suhaib Bin Sinan: Demi Islam, harta ditinggalkan…

Oleh HAFEEZ NUR

Kisah hijrahnya sebagaimana dalam hadis sahih oleh Abu Umamah, Anas, dan Ummu Hani yang diriwayatkan dari Abu Utsman sangat mengagumkan. Kecintaannya kepada agama mengatasi harta dan wang ringgit yang dimiliki. Demi hijrahnya ke Madinah bagi mengikuti Baginda Rasulullah SAW, Abu Bakar al-Siddiq dan saudara-saudara seIslam yang lain, beliau bersama rombongan yang diketuai Ali Abi Talib RA rela melepaskan harta yang dimiliki kepada kafir Quraisy.

Walaupun terkenal dengan kepahlawanan dan kehandalannya menggunakan pedang dan panah, beliau lebih rela melepaskan harta benda daripada meragut nyawa manusia haloba yang mengepungnya. Peristiwa yang menimpanya dikhabarkan kepada Rasulullah SAW sehingga Rasulullah bersabda: “Perdagangan yang amat menguntungkan wahai Abu Yahya, perdagangan yang amat menguntungkan wahai Abu Yahya.” (gelaran Rasulullah kepadanya, rujuk hadis daripada Imam Ahmad Bin Hanbal: 22800).

Mendengarkan sabda Rasulullah itu, beliau membalas: “ Wahai Rasulullah, tidak ada orang yang mendahuluiku untuk mengkhabarkan peristiwa ini kepadamu. Pasti Jibril AS yang memberitahumu…”

Nabi SAW hanya tersenyum, dan peristiwa ini menjadi Asbabun Nuzul ayat 207 dari surah Al-Baqarah: “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hambanya.”

 Latar Belakang

Susur galur keturunannya berasal dari Bani An Namir bin Qasith dari Maushil (Iraq), namun keluarganya berkepentingan dalam kerajaan Parsi. Bapanya adalah seorang Gabenor yang memerintah Wilayah Kota Ubullah. Ibunya, Salma binti Qa’id bin Amru bin Tim adalah dari keturunan bangsawan. Ibunya selalu mengajarkan adab dalam berbicara. Sejarah menyebut bahawa ibunya merupakan orang yang berbudi luhur dan sifat ibunya itu banyak mempengaruhi keperibadiannya.

Beliau memiliki rambut berwarna perang, tinggi dan berkulit cerah. Sesetengah riwayat mengatakan beliau memiliki sepasang anak mata berwarna biru menyebabkan gelaran Al-Rumi (Si Lelaki Rom – ciri-ciri fizikal yang ada pada beliau sama seperti ciri-ciri fizikal bangsa Rom) melekat padanya.

Banyak versi tentang nama aslinya. Khalid bin Abdu Amr bin Aqil dan Abu Yahya An-Namir bin Qasith malah ada juga yang mengatakan Thufail bin Amir bin Jandalah bin Saad bin Khuzaimah. Namun, dalam lipatan sejarah, beliau dikenali sebagai Suhaib al-Rumi atau Suhaib bin Sinan bin Malik bin Abdi Umar.

Sejarah pengembaraan dan liku hidup Suhaib bin Sinan bermula dari pergolakan yang berlaku di antara Kerajaan Rom (Byzantine) dan Parsi, Suhaib ditawan oleh tentera Rom dan terpisah daripada keluarganya. Dikatakan bahawa beliau menjadi hamba selama hampir 20 tahun sebelum berjaya melarikan diri dengan pertolongan pedagang-pedagang yang bersimpati dengannya dan tinggal di Kota Mekah.

Namun, ada riwayat yang lain mengatakan Suhaib bin Sinan dijual kepada saudagar berbangsa Arab yang dikenali sebagai Abdullah bin Jud’an Al Qurasyi At-Taimi. Abdullah bin Jud’an Al Qurasyi At-Taimi yang kagum dengan kecerdasan minda dan kemuliaan akhlaknya kemudiannya telah memerdekakan Suhaib malah diajak menjalankan perniagaan bersama-samanya. Kehebatan Suhaib dalam urus niaga dan perdagangan membuahkan hasil yang lumayan. Beliau dikenali sebagai seorang hartawan dengan hasil kekayaan yang melimpah ruah.

 Sejarah Perjuangan

Kisah keislaman Suhaib diriwayatkan bermula ketika beliau bertemu dengan Ammar bin Yasir dalam perjalanan bertemu Rasulullah SAW di rumah Al Arqam bin Abil Arqam. Bersama, mereka kemudiannya mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah SAW. Lafaz syahadah tersebut menjadikan beliau dan Ammar sebagai as-sabiquna-l awwalun (orang-orang yang pertama memeluk Islam). Ketika memeluk Islam, kaum Muslimin hanya sekitar 30 orang sahaja.

Suhaib dianggap di antara sahabat yang rapat dengan Rasullulah SAW.  Beliau tidak pernah lelah dan sentiasa meneruskan baktinya ke jalan dakwah Islamiah selepas kewafatan Rasulullah SAW termasuk ketika zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Khalifah Umar al-Khattab. Malah, ketika Umar al-Khattab cedera parah ditikam, Suhaib telah dilantik untuk mengimami umat Islam mendirikan solat. Suhaib meneruskan aktiviti hidupnya dengan zuhud dan membantu Khalifah-Khalifah al-Rasyidin. Beliau turut meneruskan perjuangan jihad bersama tentera-tentera Islam.

Subaib AS tidak pernah tertinggal untuk menyertai semua peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah dan sentiasa berada di sisi Baginda. Beliau merupakan pahlawan sekali gus pejuang Islam. Dengan ketepatan memanah dan kehandalan bermain pedang, beliau tidak pernah gagal menewaskan musuhnya. Banyak nyawa kafir Quraisy ditamatkan di hujung mata anak panah dan pedangnya.

Sesungguhnya Suhaib tidak rela saudara-saudara seIslam terutama Rasulullah SAW disakiti oleh musuh Allah. Suhaib RA dinukilkan berkata: “Tidak ada peperangan sedikitpun yang dilakukan Rasulullah SAW kecuali aku ikut bersamanya. Tidak ada bai’ah yang dilakukan oleh Rasulullah kecuali aku juga ikut di dalamnya. Tidak ada dakwah sirriyah kecuali aku ada di dalamnya. Tidak ada penaklukan sedikitpun kecuali aku ada di sebelah kiri atau kanannya Rasulullah SAW. Tidak ada ketakutan sedikitpun di hadapan mereka kecuali aku ada di hadapan mereka dan tidak di belakang mereka kecuali aku ada di belakang mereka. Dan tidak ada perlakuan bersama Rasulullah SAW antara aku dan musuh sedikitpun sehingga Baginda wafat kecuali aku berada disisinya.”

Suhaib bin Sinan RA wafat di Kota Madinah pada bulan Syawal tahun 38H pada usia 73 tahun dan dimakamkan di Baqi ketika zaman pemerintahan Khalifah Ali Abi Talib RA. Semoga Allah SWT meredai dan menempatkannya di dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan. Amin. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *