Home » Langit Terbuka » Subsidi haji Malaysia kekal tahun depan

Subsidi haji Malaysia kekal tahun depan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sesuai dengan asas penubuhan Tabung Haji untuk memberi khidmat dan memudah cara umat Islam Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu, kerajaan akan memastikan para jemaah tidak akan terbeban oleh kos menunaikan haji

MAKKAH – Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah Tabung Haji (TH) yang menunaikan haji akan dikekalkan seperti tahun ini untuk musim haji tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sesuai dengan asas penubuhan TH untuk memberi khidmat dan memudah cara umat Islam Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu, kerajaan akan memastikan para jemaah tidak akan terbeban oleh kos menunaikan haji.

“Kita subsidikan setiap jemaah haji kita sebenarnya lebih daripada jumlah yang dibayar oleh mereka. Mereka cuma bayar RM9,980 manakala yang kerajaan subsidikan lebih kurang RM12,000 bagi setiap jemaah.

“Kita juga ada membincangkan sama ada pelan-pelan baik pulih (bagi pengurusan haji) yang telah dijalankan akan membabitkan penambahan kos dan seterusnya membebankan kita.

“Namun saya diberitahu setiap penambahbaikan tidak akan melibatkan kos yang tinggi untuk para jemaah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berharap sektor perniagaan TH dapat berkembang pada masa akan datang dan mendatangkan pulangan yang lebih tinggi kepada syarikat dalam usaha untuk terus menampung subsidi jemaah haji Malaysia.

“Bahagian perniagaan (TH) sedang melalui pemulihan. Kita sudah ada pengerusi baru, ketua pegawai eksekutif baru dan mungkin dalam masa yang terdekat, ahli lembaga pengarah yang baru akan diperkenalkan,” katanya.

Kerajaan juga katanya akan melihat kepada pelan subsidi ibadah haji yang telah dibuat oleh pengurusan TH yang terdahulu untuk melihat sama ada pelan tersebut masih relevan untuk diteruskan atau sebaliknya.

Mujahid turut menyambut baik kebenaran yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi tahun ini hasil rundingan antara pihak TH dan Kementerian Haji Arab Saudi berkenaan waktu untuk melontar khas di jamrah pada hari-hari tasyrik bagi jemaah haji Malaysia. – Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *