LONDON – Umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha dengan menunaikan solat sunat di masjid atau di kawasan lapang termasuk pelarian Rohingya yang masih terkesan dengan kekejaman pihak tentera sehingga terpaksa ‘merempat’ di negara jiran sejak setahun lalu.
Mengingati kesediaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya atas perintah Allah, ibadat korban dilaksanakan oleh umat Islam sebagai tanda bersyukur.
Arab News melaporkan, daging korban dikongsi dalam kalangan keluarga dan rakan selain disedekahkan kepada golongan miskin.
Di Palestin, penduduknya mengunjungi pekarangan yang dikenali umat Islam sebagai Al Haram Al Sharif di Kota Lama Baitulmuqaddis di sebalik pemantauan rejim Zionis yang semakin menzalimi mereka sejak akhir-akhir ini.
Di negara bergolak Syria pula, Presiden Bashar al Assad menyertai jemaah dengan menunaikan solat di sebuah masjid di Damsyik dalam suasana penuh kesayuan mengenangkan nasib negara yang masih belum bebas sepenuhnya daripada cengkaman perang saudara.
Selain itu, lebih 226,000 umat Islam Rusia berhimpun di masjid-masjid di sekitar Moscow bagi menyambut Aidiladha dengan Masjid Cathedral Moscow yang juga masjid terbesar di Eropah menjadi pusat pertemuan itu.
Di Cox’s Bazar, Bangladesh pula, hampir sejuta umat Islam Rohingya menyambut Aidiladha buat pertama kali di kem pelarian terbesar di dunia, hampir setahun selepas tragedi etnik itu berdepan tindakan ketenteraan zalim yang mendorong mereka melarikan diri.
Solat sunat Aidiladha diadakan di masjid sementara di selatan Bangladesh itu sebelum disusuli acara korban yang diadakan di kawasan sawah padi dekat kem pelarian tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan isterinya, Sophie mengucapkan salam Aidiladha kepada umat Islam di negara berkenaan serta seluruh dunia dan memulakan ucapan tersebut dengan lafaz Assalamualaikum.- UTUSAN MALAYSIA
KOMEN