Home » Muamalah » Suapan yang halal

Suapan yang halal

Susunan – Hashim bin  Ahmad

Salah satu kewajiban ibu bapa adalah memberi nafkah kepada anak-anaknya. Segala yang diperlukan anak seperti makanan, minuman, pakaian dan biaya untuk ke sekolah, wajib dipenuhi ibu bapa sesuai dengan kemampuannya.

Untuk memenuhinya, maka  ibu bapa terpaksalah memeras keringat dan membanting tulang. Inilah masalah yang selalu memenuhi fikiran mereka. Pelbagai jalan dan usaha terpaksa dilakukan bagi memenuhi permintaan dan keinginan anak-anak. Sememangnya, memberi nafkah merupakan kewajiban ibu bapa. Inilah yang ada dalam kehidupan.

Syariat menjelaskan  bahawa memberi  nafkah bukan sekadar tuntutan, namun di sana ada janji pahala bagi yang menunaikannya. Setiap perbuatan akan diberi balasan sesuai dengan niatnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan harus disertai dengan niat, dan sesungguhnya setiap orang akan   mendapat  balasan  sesuai  apa  yang  dia   niatkan.”   (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Memberi nafkah kepada keluarga merupakan satu kewajipan. Rasulullah SAW menamakannya dengan sedekah kerana dikhuatirkan ada orang-orang yang menyangka, pelaksanaan kewajipan (memberi nafkah) ini tidak ada pahalanya.

Rasulullah SAW telah mengetahui bahawa sedekah itu berpahala. Sebab itu baginda memberitahu bahawa nafkah ini adalah sedekah bagi mereka, agar mereka tidak mengeluarkan nafkah untuk selain keluarga kecuali setelah mencukupi keluarganya.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah yang paling utama adalah yang masih menyisakan kecukupan, dan tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, dan mulailah dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu.”   (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Ibu bapa harus tahu bahawa memberi nafkah kepada anak-anak bukanlah tuntutan kehidupan semata, tapi ia akan membuahkan pahala jika diniatkan kerana Allah SWT. Namun,  dalam pemberian nafkah, ada permasalahan lain yang harus diperhatikan.

Ia adalah  masalah  kehalalan  nafkah  yang  kita berikan kerana Allah SWT tidak menerima kecuali segala sesuatu yang baik dan halal. Jangan sampai kita suapkan ke mulut anak-anak makanan yang haram atau diperolehi dari hasil yang haram. Begitu juga dengan minuman, pakaian dan segala keperluan yang mereka dapatkan dari orang tua.

Janganlah kita gunakan alasan kerana tidak ada pilihan, maka kita mengikut pelbagai amalan haram yang menjanjikan hasil berlipat. Jauhilah perbuatah rasuah, riba, penggelapan, penipuan, hingga mempraktikkan bisnes dengan sistem yang tidak dibenarkan oleh syariat.

Sedarlah bahawa segala sesuatu yang haram itu akan berpengaruh pada diri anak-anak. Ibu bapa yang memberi nafkah yang tidak halal bagi anak-anaknya bererti menghalangi doa mereka untuk dikabulkan oleh Allah SWT.

Allah SWT telah memerintahkan para rasul untuk makan segala sesuatu  yang baik, iaitu  segala sesuatu yang dihalalkan oleh Allah SWT dan didapatkan dari jalan yang dibenarkan oleh syariat. Apa yang tidak dihalalkan oleh Allah SWT seperti khamr misalnya, maka ia tidak  boleh dimakan. Begitu  juga halnya bila  makanan itu dihalalkan oleh Allah SWT, tetapi didapat dari jalan yang haram, maka ini pun tidak boleh dimakan.

Sesungguhnya, memakan makanan yang haram merupakan sebab seseorang meninggalkan kewajipan-kewajipan agamanya, kerana jasmaninya telah disuapi dengan sesuatu yang buruk. Segala suapan yang buruk ini akan berpengaruh pada dirinya.

Rasulullah SAW begitu berhati-hati dan menjauhkan dirinya dari sesuatu yang dikhuatirkan berasal dari perkara yang haram. Rasulullah juga berusaha menjauhkan cucunya dari memakan sesuatu yang haram. Baginda melarang cucunya makan sebutir   kurma yang berasal dari kurma  sedekah. Sesungguhnya, sedekah diharamkan bagi baginda dan keluarga baginda.

Abu Hurairah r.a bercerita:   Al-Hasan bin ‘Ali kwj memungut sebutir kurma dari kurma sedekah, lalu dia masukkan kurma itu ke mulutnya. Rasulullah SAW pun bersabda: “Kikh, kikh ! Buang kurma itu ! Apa kau tidak tahu, kita tidak boleh makan sedekah?”    (Hadis Riwayat Muslim)

Perlakuan seperti ini semestinya menjadi contoh bagi setiap muslim  yang inginkan  keselamatan dan  kebaikan bagi anak-anak.

Sesungguhnya, kasih sayang bukanlah bererti menuruti setiap tuntutan dan memberikan setiap keinginan hingga melampaui batasan-batasan Rabb seluruh alam. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *