Home » Lagenda » Srikandi berjiwa besar

Srikandi berjiwa besar

Melihat susuk tubuh kecil wanita berusia 59 tahun ini yang ceria, bersahaja dan bersemangat ketika berkongsi pengalaman ditahan oleh tentera Israel pada 5 Oktober yang lalu, tidak langsung tergambar riak ketakutan seolah-olah apa yang dilalui dalam tempoh lebih 24 jam penahanan, tidak memberi kesan kepada beliau untuk berasa serik untuk meneruskan misi kemanusiaan selepas ini.

Misi untuk memecahkan sekatan selama 10 tahun di Semenanjung Gaza oleh tentera Israel diduga apabila kapal Zaytouna-Oliva dikepung oleh tiga kapal besar tentera rejim Israel di setiap penjuru. Walaupun selepas rundingan dan menyatakan bahawa delegasi mereka membawa misi keamanan, bot kecil mereka tetap ditunda menuju ke pelabuhan Ashdod.

Mereka dilaporkan telah terputus hubungan pada pukul 8.50 malam, kurang 50 batu nautika dari Gaza. Perjalanan mereka sudah hampir dengan destinasi mereka tetapi tetap dihalang kerana sikap Israel yang tetap menganggap mereka sebagai penceroboh.

Dr. Fauziah Mohd Hasan yang turut serta dalam misi kemanusiaan sepanjang 1715km batu nautika melalui program Women’s Boat To Gaza (WBG) bersama 13 orang wanita lain yang datang dari pelbagai negara ternyata telah dibekalkan persiapan yang mencukupi untuk menghadapi situasi tersebut.

Beliau mengakui telah diberikan persediaan fizikal dan mental yang amat rapi oleh pihak Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) kepada wakil delegasi Malaysia. Malah, turut menerima sokongan yang amat baik daripada para pelajar Malaysia yang berada di setiap pelabuhan.

Menurut beliau, yang penting perlu bersikap tenang dan berdiplomasi dengan pihak tentera Israel dan seboleh-bolehnya mengelak diri daripada mencetuskan provokasi yang akan mengakibatkan kesan yang buruk bagi pihak tahanan.

Selain itu, mereka telah diingatkan agar membuang segala alat komunikasi termasuk telefon bimbit, komputer riba dan tablet ke laut yang mereka ada sekiranya ditahan oleh Israel.

Walaupun layanan yang diberikan kepada tahanan agak baik tetapi bagi beliau itu hanya propaganda Israel yang mahu menunjukkan kepada dunia yang sebenarnya mereka tidak kejam dan masih boleh berdiplomasi dengan tahanan.

 

Kepayahan dan kesusahan Palestin seakan sudah dilupakan berikutan dunia dialihkan dengan isu-isu lain. Sedangkan masyarakat Palestin terus menderita dengan kekurangan bekalan air, kemudahan pendidikan yang dhaif dan bekalan makanan yang tidak mencukupi.

Namun, misi mereka ini telah membuka kembali ingatan masyarakat dunia kepada penganiayaan yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin. Seluruh dunia sewajarnya terus bersatu menolak kezaliman dan kekejaman Israel.

Bagi Dr. Fauziah Mohd Hasan, ia merupakan satu pengalaman yang bersejarah. Namun, pengalaman itu, tidak akan pernah memadamkan hasrat untuk meneruskan misi kemanusiaan ke bumi Palestin. Bagi beliau, umur hanya sekadar angka. Ia tidak menghalang hasrat beliau untuk terus memberi manfaat kepada orang lain.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *