SIRI Terbaharu Seminar Kebangsaan Peradaban Islam Dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) telah berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 18 Oktober dengan kehadiran lebih 150 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan universiti berkenaan.
Dianjurkan YADIM dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, program dengan tema Falsafah Adab dan Peradaban dalam Pengukuhan Malaysia Madani ini mengupas isu-isu dan nilai teras yang mendasari serta memacu halatuju agenda pembangunan insan,masyarakat dan seterusnya sebuah peradaban nusantara yang ‘madani’ sifatnya.
Ia juga bertujuan meningkatkan keprihatinan mahasiswa dalam menghayati nilai-nilai insaniah, khususnya sifat Ihsan dalam menangani krisis kemanusiaan sejagat.
Hasrat ini selari dengan titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, selaku Canselor UiTM dalam kenyataannya yang menegaskan solidariti Malaysia bersama rakyat Palestin.
Program dimulakan dengan Wacana Tokoh bertajuk ‘Islamisasi Alam Melayu Nusantara Sebagai Landasan Peradaban Malaysia Madani’ oleh tokoh akademik, Felo Penyelidik Kanan, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik ACIS, Prof. Madya Sharifah Anom Omar sebagai moderatornya.
Ia kemudiannya diteruskan dengan forum ’Penghayatan Adab dan Falsafah Peradaban Islam Dalam Pembangunan Masyarakat Madani’.
Mantan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Pensyarah Kanan Fakulti Aqidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya, Dr Alwani Ghazali dan Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Norazlan Hadi Yaacob merupakan ahli panel forum ini manakala Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) ACIS, Prof Dr. S. Salahudin Suyurno bertindak selaku moderator.
Perasmian program kemudiannya disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelidikan Dakwah YADIM, Datuk Dr. Harlina Halizah Haji Siraj.
Dalam ucapannya, Datuk Dr Harlina menegaskan YADIM akan meneruskan kerjasama dengan universiti-universiti bagi tujuan menanamkan kefahaman Malaysia Madani khususnya kepada pelajar serta untuk pelbagai lagi program melibatkan akademik.
Beliau juga mengambil kesempatan menyeru para mahasiswa yang hadir untuk cakna dengan perkembangan semasa serta pada masa yang sama tidak melupakan fokus dan tujuan mereka di menara gading.
Hadir sama ke program ini ialah Pegawai Pakar Bidang Khusus YADIM, Dr. Masitah Esa serta pegawai-pegawai daripada ACIS.
Program di UiTM ini adalah hasil daripada memorandum persefahaman antara universiti berkenaan dan YADIM pada tahun 2020 bagi bekerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya akademik.
SPIKEM seterusnya akan diadakan pada 26 Oktober di Universiti Kebangsaan Malaysia.
KOMEN