KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuatkuasa esok 18 Mac 2021 (Khamis).
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata perubahan itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini serta perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Bagi solat Jumaat bilangan jemaah diperluaskan ke semua ruang yang sesuai di masjid, surau Jumaat dan surau yang diberi kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
“Bilangan jemaah bagi solat fardu pula adalah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan media pada 17 Mac.
Katanya lagi untuk aktiviti pengimarahan, masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan mengadakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan sebagainya dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
Mohd Ajib berkata semua ketetapan terbaharu ini adalah tertakluk kepada Garis Panduan yang ditetapkan serta prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – AlHijrah Online
KOMEN