Home » Langit Terbuka » SOP ibadah korban selari hukum syarak

SOP ibadah korban selari hukum syarak

SOP ibadah korban penting kerana peluang dan ruang sudah disediakan untuk umat Islam melaksanakan ibadah korban walaupun negara masih bergelut dengan ancaman wabak terbabit. - Foto hiasan Malaysiakini

KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) untuk ibadah korban sempena Aidiladha yang ditetapkan kerajaan selari dengan hukum syarak dari segi keselamatan dan kesihatan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata SOP dari segi jumlah haiwan korban dan lokasi seperti ditetapkan itu bersesuaian dengan keadaan negara yang berdepan ancaman wabak berkenaan.

“Dalam keadaan normal baharu dan luar dari kebiasaan, kita perlu patuh kepada SOP ditetapkan kerana negara masih belum dapat menangani sepenuhnya ancaman COVID-19.

“Sebab itu kita perlu berwaspada dan saya melihat SOP yang ditetapkan kerajaan, perlu dipatuhi dengan sebaiknya. Malah di Kelantan, kita menggunapakai SOP yang ditetapkan itu kerana dari sudut fiqah, kita tidak boleh melihat kepentingan individu semata-mata sebaliknya kepentingan ramai,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, di Kelantan, selain penjarakan sosial dan wajib memakai pelitup muka, pihaknya menetapkan pisau sembelihan tidak boleh digunakan secara bergilir-gilir dan pihak terbabit digalakkan bersurai sebaik sahaja selesai ibadah berkenaan.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, turut berkongsi pandangan sama selain meminta umat Islam mematuhi SOP terbabit bagi mengelak wujudnya pertambahan kes COVID-19 baharu.

Jelasnya, SOP itu penting kerana peluang dan ruang sudah disediakan untuk umat Islam melaksanakan ibadah korban walaupun negara masih bergelut dengan ancaman wabak terbabit.

“Dalam kita menjalankan ibadah untuk mendapatkan pahala korban, kita perlu akur dan patuh kepada SOP dengan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Dari sudut Islam, tiada masalah jumlah haiwan untuk dikorbankan dan lokasi ia dilakukan.

“Saya faham ramai yang ingin melaksanakan ibadah korban tetapi dalam keadaan ketika ini, kita perlu akur sehingga wabak ini dapat ditangani sepenuhnya,” katanya.

Kerajaan semalam memutuskan mengehadkan jumlah haiwan untuk ibadah korban sempena Aidiladha, tidak lebih daripada 10 ekor bagi masjid dan surau, termasuk lokasi korban dibenarkan Pejabat Agama Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjelaskan, ia adalah sebahagian daripada hasil semakan semula SOP bagi sambutan Aidiladha dilakukan kerajaan, selepas mengambil kira risiko penularan semula COVID-19. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *