Home » Langit Terbuka » Solat Subuh, Isyak berjemaah dapat hadiah motosikal

Solat Subuh, Isyak berjemaah dapat hadiah motosikal

Sebahagian jemaah dewasa dan kanak-kanak Masjid Assa'adah Pengkalan Batu bergambar kenangan dengan motosikal dan basikal yang bakal menjadi milik jemaah bertuah - Foto Arkib

MELAKA – Masjid Assa’adah Pengkalan Batu di sini menawarkan hadiah tiga buah motosikal kepada jemaah yang hadir menunaikan solat Subuh dan Isyak berjemaah di masjid itu selama 40 hari.

Pengerusinya, Datuk Amzah Osman berkata, hadiah motosikal jenis Modenas Kriss berharga RM3,500 itu akan diberikan kepada mereka yang berusia 16 tahun ke atas sempena program istiqamah imarah masjid solat 40 hari.

Menurutnya, hadiah hasil sumbangan penderma itu akan diberikan mengikut kategori yang ditetapkan iaitu jemaah lelaki kariah masjid, bukan kariah masjid, pegawai syarak, jawatankuasa, pekerja masjid dan jemaah wanita.

“Penganjuran program ini tercetus untuk memberi penghargaan kepada jemaah yang bermujahadah bangkit awal pagi untuk menunaikan solat.

“Awal bulan ini, kita mulakan program sama bagi kategori kanak-kanak dengan menawarkan hadiah basikal dan melihat masjid kembali meriah, kita wujudkan pula hadiah bagi golongan dewasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Batu, Derus Tumpang berkata, kalau sebelum ini hanya tiga saf solat jemaah kini telah meningkat dan memenuhi hingga lima saf.

Menurutnya, meskipun ada yang beranggapan mereka hadir solat jemaah untuk mendapatkan motosikal, namun terus berdoa semoga jemaah istiqamah terutama untuk hadir solat jemaah pada Subuh dan Isyak.

“Saya bersyukur dan berbangga dengan barisan masjid ini yang muafakat mencari idea menarik orang ramai ke masjid terutama bagi solat jemaah. – Kumpulan Karangkraf

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *