Taiping – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggerakkan Skuad Musa’adah Agensi Agama ke pantai timur dalam masa terdekat bagi membantu mangsa bencana banjir yang sedang melanda negeri Kelantan dan Terengganu.
Menterinya, Datuk Idris Ahmad berkata, beberapa agensi seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) akan turut menghantar pasukan mereka.
Jelas beliau, agensi-agensi yang memang berada di negeri berkenaan akan digerakkan segera ke kawasan bencana tersebut.
“Insya-ALLAH, biasanya kita akan hantar (Skuad Musa’adah), mungkin dalam masa terdekat.
“Mungkin kita akan hantar pasukan ke sana atau hantar wakil-wakil kita di sana seperti YaPEIM dan Yadim membantu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kawasan Bukit Gantang 2022 di Pusat Khidmat Pas Parlimen Bukit Gantang, di sini pada Ahad.
Idris berkata, barang-barang bantuan yang diberikan melibatkan keperluan penginapan seperti selimut, toto dan sebagainya.
Menurutnya, selain itu barang-barang makanan kering dan makanan sudah dimasak turut diberikan untuk mangsa banjir.
Sementara itu, Penasihat Syariah QSR Brands, Hayazi Darus yang turut hadir pada program tersebut berkata, pihaknya juga turut membantu mangsa banjir menerusi kerjasama agensi-agensi berkaitan.
Menurutnya, sebelum ini memang bantuan keperluan asas disalurkan melalui kerjasama rapat dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Katanya, Jabatan Agama Islam negeri-negeri lain juga akan turut dibantu jika terdapat keperluan. – Saifullah Ahmad, MSN News
KOMEN