Home » Langit Terbuka » Skim Piramid: 72 Akaun Bank Dibekukan

Skim Piramid: 72 Akaun Bank Dibekukan

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, akaun yang dibekukan itu terdiri daripada 25 akaun syarikat dan 47 akaun individu susulan serbuan Ops Coin ke atas 16 premis secara serentak jam 11 pagi, semalam.

PUTRAJAYA – Sebanyak 72 akaun bank membabitkan sejumlah RM5.867 juta dibekukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membantu siasatan berhubung skim piramid dijalankan sebuah syarikat.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, akaun yang dibekukan itu terdiri daripada 25 akaun syarikat dan 47 akaun individu susulan serbuan Ops Coin ke atas 16 premis secara serentak jam 11 pagi, semalam.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan di sebuah premis di Ipoh, Perak dan 15 lagi premis di sekitar Lembah Klang membabitkan empat premis perniagaan, lapan kediaman dan tiga pusat (server) syarikat itu.

“Berikutan itu, kita merampas barangan seperti komputer dan pelbagai produk syarikat bernilai RM980,352 selain menyita wang tunai asing antaranya Euro, Yuan dan Dolar AS bernilai RM93,879.20.

“Kami turut membekukan proses dan transaksi pindah milik membabitkan 26 buah kenderaan bernilai RM6.238 juta namun tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, ‘drama’ bermula apabila pihak kawalan keselamatan premis di Jalan Jalil, Bukit Jalil itu enggan membuka pintu premis walaupun sudah menunggu hampir 10 minit.

Serbuan dijalankan pihak Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Cyber Security, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mohd Roslan berkata, tindakan serbuan terhadap syarikat itu susulan enam aduan diterima tahun lalu daripada orang awam dengan satu daripadanya ialah penggunaan logo Bank Negara Malaysia.

“Pengasas syarikat ini memberikan kerjasama kepada kita berhubung siasatan yang dijalankan,” katanya.

Ditanya mengenai modus operandi, beliau berkata, seorang ahli yang menyertai skim berkenaan perlu mencari dua lagi pelabur di bawahnya dan seterusnya, setiap seorang pelabur baharu itu perlu mencari dua pelabur lain.

Katanya, lot yang ditawarkan berharga antara RM500 hingga RM5,000 dan pulangan diterima berdasarkan jumlah pelaburan dibuat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993, suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian dan pertubuhan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM1 juta dan tidak lebih RM10 juta.

Katanya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak kurang daripada RM10 juta atau tidak lebih RM50 juta.

“Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan, didenda tidak kurang RM500,000 dan tidak lebih RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak kurang RM1 juta dan tidak lebih RM10 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, Mohd Roslan berkata, jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi. – BERITA HARIAN ONLINE

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/453652/skim-piramid-72-akaun-bank-dibekukan

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *