Saya suka membaca tulisan saudara Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf yang juga mempunyai kolum khas di Sinar Harian online. Bahasanya ringkas dan seolah-olah dia sedang berbual-bual dengan kita. Baru-baru ini, buat pertama kali saya menghantar emel kepada beliau selepas membaca tulisan beliau bertajuk “Kalaulah Dulu-dulu Ada PU”. Saya memberikan respon ringkas terhadap tulisan beliau dan paling menggembirakan dia membalasnya.
Dia bercerita tentang pengalaman beliau berjiran dengan bukan Islam, Foong dan Kong dan tidak pernah berani untuk membincangkan tentang agama Islam dengan jiran-jirannya itu. Sedangkan perhubungan mereka terjalin dengan harmoni dan saling menghormati. Saya mengakui saya sendiri begitu. Dahulu, kampung saya yang kecil dihuni oleh 2 buah keluarga Cina dan ayah saya memang berkawan baik dengan mereka. Paling rapat ialah dengan Ah Te yang memiliki sebuah kedai membekal bahan-bahan membuat rumah.
Ayah saya pula seorang tukang rumah dan memang kedai Ah Te menjadi kedai wajib untuk abah mengambil barang-barang. Selalunya diambil dalam bentuk hutang. Cukup bulan bila dapat gaji atau sudah terima upah membuat rumah, baharu abah langsaikan hutang. Persahabatan mereka terjalin atas rasa percaya mempercayai. Bila tiba Tahun Baru Cina, Ah Te tidak lupa memberi sekotak buah limau dan kuih bulan. Tapi kami tidak pernah pula memakan kuih bulan itu. Saya tidak pasti pula kalau abah ada menerima angpau daripada Ah Te ataupun tidak. Cuma seingat saya, bila tiba musim perayaan itu, mesti saya akan temui angpau merah yang saya percaya telah dikeluarkan isinya.
Saya pun tidak pernah pula bertanya kepada abah kalau-kalau dia ada usaha untuk mentarbiah Ah Te yang bila bercakap memang langsung tiada slang Cinanya. Sebaliknya loghat daerah Pekan lebih melekat di lidahnya. Rumah dan kedainya pula berhampiran dengan masjid kampung. Tidak pernah pula pada masa itu saya terfikir untuk bertanyakan kepada dia adakah dia merasa terganggu apabila azan dikumandangkan?
Kemudian, setelah bekerja saya menyewa dengan kawan-kawan. Saya berjiran dengan sebuah keluarga India. ‘Auntie’ itu rajin menegur kami. Kalau tidak menegur pun hanya berbalas senyuman. Cuma kurang senang bila tiba hari perayaan mereka, kami terpaksa menghidu bau setanggi yang kuat. Tidak pernah pula kami berbual persoalan keagamaan kerana mungkin pada masa itu pemikiran saya masih tertutup dengan keperluan untuk berdakwah kepada bukan muslim.
Saya teringatkan bicara Presiden Persatuan Cina Muslim (Macma), Prof. Dr. Hj. Taufiq Yap Yun Hin dalam satu forum, perihal sikap orang Islam yang takut hendak berdakwah kepada orang bukan Islam kerana takut hubungan yang terjalin baik selama ini akan musnah. Macam-macam yang difikirkan seperti takut dipulaukan, bimbang bermasam muka, khuatir menimbulkan kemarahan dan pergaduhan dan sebagainya. Itu jugalah yang difikirkan oleh Saudara Jalil.
Sedangkan kata Prof. Dr. Hj. Taufiq, mereka sendiri sebenarnya terbuka untuk berbincang mengenai persoalan keagamaan dengan orang Islam. Kalau kita lihat dalam aktiviti street dakwah ataupun dakwah jalanan yang giat dijalankan ketika ini, non muslim memberikan respon yang baik dan teruja apabila disampaikan tentang mesej Islam. Kita saja yang memberikan persepsi negatif.
Berbalik kepada artikel Saudara Jalil tadi, dia menyatakan alangkah baiknya kalau dahulu wujudnya rancangan Pencetus Ummah (PU). Sekurang-kurangnya kita sebagai orang biasa ini boleh juga gagah untuk berdakwah kepada orang bukan Islam yang hampir dengan kita seperti kawan-kawan dan jiran-jiran. Tetapi bersesuaian pula dengan suasana pada masa itu. Sebelum tahun 1980-an, kesedaran masyarakat tentang Islam memang masih kurang. Islam mula menampakkan kebangkitannya selepas itu.
Kalau di peringkat sekolah, kita boleh melihat kesedaran ibu bapa dan pelajar yang mula memilih untuk memakai baju kurung untuk perempuan dan seluar panjang untuk lelaki. Rancangan televisyen pula hanya terhad kepada beberapa saluran percuma sahaja dan seingat saya hanya drama Melayu dan Jepun sahaja yang menarik perhatian saya.
Saudara Shah Kirit bin Kakulal Govindji, yang telah dilahirkan dalam Islam tetapi dibesarkan dalam suasana Hindu mengakui bahawa beliau memeluk Islam disebabkan perkahwinan. Beliau juga mendakwa orang bukan Islam tidak melakukan kerja berdakwah kepada bukan muslim di sekeliling mereka. Tidak terasakah kita?
Sedangkan perintah berdakwah kepada orang bukan Islam telah Allah nyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.” (Ali Imran 3: 64)
Namun, kita masih dihantui dengan skeptikal tidak mahu ‘mencari masalah’ dengan mereka. Perkembangan teknologi dan kemudahan mendapatkan pendidikan agama pada masa sekarang, telah membuka ruang seluas-luasnya untuk umat Islam menyampaikan kebenaran Islam kepada bukan muslim. Untungnya kita hari ini, kalau mahu menonton rancangan agama di kaca televisyen, kita boleh memilih saluran Astro Oasis atau TV Hijrah. Sumber dari internet apatah lagi. Semuanya di hujung jari namun semua sumber itu perlu juga dikaji dan ditapis terlebih dahulu. Begitu juga dengan kelas-kelas pengajian al-Quran seperti al-Baghdadi, medium pembacaan al-Quran, seperti pen elektronik al-Quran dan sebagainya. Peluang dan ruang sentiasa ada di sekeliling kita.
Walaupun begitu, diakui kekuatan juga diperlukan untuk memulakan bicara tentang agama. Perlu juga mengkaji latar belakang orang yang menerima dakwah tersebut. Bak kata Dr Taufiq, orang Cina ini suka makan-makan. Boleh saja gunakan kaedah mengajak mereka untuk acara makan-makan di rumah sambil-sambil itu boleh mula bersembang tentang solat contohnya. Tidak perlu kepada perbincangan yang serius yang mungkin kita tidak mampu tangani. Cukup sekadar dengan kebaikan-kebaikan di sebalik setiap gerakan dalam solat seperti sujud.
Bagi saya yang tidak mempunyai kawan bukan Islam yang rapat, mungkin sukar untuk melakukannya. Saya kira saya juga masih terhimpit dengan rasa takut untuk memulakan perbualan melainkan kalau individu itu sudah lama saya kenali. Cuma satu tabiat saya dan mungkin hal ini sudah lama menjadi mind set saya. Kalau katakan saya berada dalam sesuatu situasi yang berhampiran dengan bukan Islam, dan ketika itu saya bersama dengan ahli keluarga, dan tiba-tiba anak saya mula buat perangai, saya akan cuba menggunakan perkataan seperti Allahu akbar, Lailahaillah untuk menunjukkan cara protes saya kepada anak-anak. Sekurang-kurangnya, mereka mendengar. Kita tidak tahu bila hidayah itu boleh datang kepada seseorang. Mana tahu, dengan perkataan-perkataan tersebut mereka terbuka hati untuk bermuhasabah dan berfikir seterusnya jatuh cinta kepada Islam.
Kita sedar, dalam dunia sekarang terlalu banyak cabaran yang menghimpit umat Islam. Namun, dalam kesempitan itu, Allah SWT tetap melorongkan jalan-jalan untuk kita meneruskan warisan dakwah Rasulullah SAW. Skeptikal orang bukan Islam tidak suka kita berdakwah kepada mereka dan bimbang dipulaukan sememangnya tidak akan berakhir. Walau bagaimanapun, menyampaikan dakwah adalah tanggungjawab umat Islam walau apapun latar belakang kita. Berdakwah kepada bukan Islam bermaksud kita menyampaikan kebenaran tentang Islam kepada mereka dan membawa mereka mengenali Islam dan seterusnya menjadi ummah kepada agama paling sempurna di muka bumi Allah ini.
Selamat berusaha. Peringatan untuk diri sendiri juga.
Editor.
KOMEN