PUTRAJAYA – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama hampir 3,000 peserta menyertai larian ‘Halal Fun Run’ pada program Karnival Rahmah 2019, di Dataran Putrajaya, di sini hari ini (28 September).
Beliau yang menjadi tumpuan pada acara larian sejauh tiga kilometer itu dibekalkan belon bercetak logo halal sebagai manifestasi ‘Yakini Halal Malaysia’ untuk dibawa sepanjang larian.
Acara yang dilepaskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad seawal jam 7 pagi itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mujahid Yusof.
Program tersebut merupakan inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama agensi di bawah JPM bagi mengetengahkan pembudayaan gaya hidup sihat di samping menitikberatkan aspek pemakanan halal dalam kalangan masyarakat.
Sebelum ini Mujahid dilaporkan berkata, Karnival Rahmah 2019 yang berkonsepkan ‘didik hibur’ itu menyediakan pelbagai program dengan mesej antaranya kasih sayang, persaudaraan dan kehidupan dalam suasana harmoni.
Katanya, mesej itu penting kerana Islam sentiasa mengunjurkan umatnya untuk berkasih sayang, bukan sahaja sesama Muslim tetapi kepada seluruh makhluk.
Setiap gerai pameran ujarnya mempunyai enam nilai utama RAHMAH, iaitu Ramah; Aman; Harmoni; Mesra; Alami dan Hormat, selain nilai tersendiri yang akan diterjemah dan sarat dengan mesej.
Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana itu turut meluangkan masa selama 10 minit berkongsi mengenai produk terbaharu keluaran syarikatnya, SimplySiti iaitu minuman kesihatan BeauSiti kepada pengunjung yang jadir pada program berkenaan.
Turut diadakan acara cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik antaranya pakej umrah dan motosikal Yamaha 15ZR dengan mengumpulkan cop di gerai-gerai yang ditetapkan.
Karnival yang bermula semalam hingga esok itu menampilkan pelbagai acara menarik, antaranya jamuan Rahmah pada pukul 5 petang ini yang menyajikan makanan kepada pengunjung secara percuma selain Konsert Rahmah pada 9 malam ini.
Selain itu pada esok akan diadakan Eco Alami Ride yang bermula pukul 7 pagi serta pertunjukan paragliding bermula 4.30 petang.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Karnival Rahmah boleh layari Facebook Karnival Rahmah 2019 atau Instagram KarnivalRahmah2019. – Utusan Malaysia
KOMEN