Home » Langit Terbuka » Sistem Penilaian Kesihatan Mental Perlu Diperkenal

Sistem Penilaian Kesihatan Mental Perlu Diperkenal

Lam Thye yang juga Anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental berkata, penyakit mental boleh digambarkan sebagai ‘bom jangka’ yang boleh meletup pada bila-bila masa sekiranya tidak dikendalikan dengan berkesan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperkenalkan sistem penilaian kesihatan mental yang boleh menentukan sejauh mana gangguan mental boleh membawa kepada kejadian atau perbuatan jenayah, demikian cadangan yang diberikan oleh aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Lam Thye yang juga Anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental berkata, penyakit mental boleh digambarkan sebagai ‘bom jangka’ yang boleh meletup pada bila-bila masa sekiranya tidak dikendalikan  dengan berkesan.

“Kementerian Kesihatan perlu membangunkan dan melaksanakan indeks penilaian psikologi yang dapat digunakan untuk membantu pihak-pihak berkaitan merancang program untuk membantu menangani  peningkatan isu kesihatan mental di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelbagai kes pembunuhan yang dikatakan melibatkan suspek dengan gangguan mental di negara ini telah menunjukkan keseriusan dan keperluan untuk menanganinya di peringkat masyarakat.

Merujuk kepada kes baru-baru ini berkenaan seorang wanita yang mengelar anaknya berusia dua tahun di Maran, Pahang pada 17 Jun lepas, Lam Thye berkata wanita itu dilaporkan sering termenung dan mendengar suara sejak Mei.

Ia juga dilaporkan bahawa keluarga wanita terbabit telah mendapatkan rawatan alternatif dan walaupun ia mungkin membantu, Lee merasakan bahawa wanita itu perlu dirujuk kepada ahli psikologi untuk penilaian  kesihatan mental.

“Adalah penting untuk suspek menjalani penilaian kesihatan mental sementara kes itu sedang disiasat,” katanya.

Anggota keluarga dan masyarakat katanya, perlu membantu mereka yang mengalami gangguan mental dengan mendapatkan kaunseling atau rawatan yang betul dan tidak menyisihkan atau menghina mereka.

Lam Thye juga menegaskan kepentingan menghapus stigma bahawa mereka yang menghadapi penyakit mental, sebagai ‘orang gila’.

“Ramai dalam kalangan kita masih tidak sedar kepentingan perkembangan kesihatan mental walaupun pakar telah memberi amaran bahawa penyakit mental akan menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung, menjelang 2020,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

JHEAIK pantau pergerakan GISBH di Kedah

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sentiasa memantau pergerakan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi

Roti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *