Home » Langit Terbuka » Singapura teroka pedagogi baharu bagi model kolej Islam

Singapura teroka pedagogi baharu bagi model kolej Islam

Singapura mahu Asatizah di republik itu bermutu tinggi dan menjadi pemimpin yang berkeyakinan pada masa hadapan. - Foto hiasan Tehtarik.sg

SINGAPURA – Singapura sedang meneroka pendekatan dan pedagogi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran Islam bagi membantu dan mencorak model untuk kolej Islamnya sendiri.

Ini dinyatakan oleh Perdana Menteri republik itu Lee Hsien Loong di dalam ucapan Bahasa Melayunya sempena Rapat Hari Kebangsaan 2019 yang berlintas langsung di ITE College Central di sini pada Ahad lalu.

Katanya Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu Islam Singapura akan melancarkan Post-graduate Certificate in Islam in Contemporary Socities (PCICS) pada tahun hadapan.

“Kursus ini adalah bagi siswazah agama di luar negara apabila mereka pulang ke sini. Ini supaya mereka dilatih untuk mereka menerapkan apa yang mereka pelajari dalam konteks Singapura.

“Kami juga berharap untuk meneroka pendekatan dan pedagogi baru dalam pengajaran dan pembelajaran Islam. Ini akan membantu dalam mencorak model untuk kolej Islam kita sendiri yang bakal melatih generasi Asatizah yang baru di Singapura,” kata Lee.

Menurutnya, Singapura mahu golongan Asatizah yang bermutu tinggi dan menjadi pemimpin yang berkeyakinan pada masa hadapan.

Katanya satu jawatankuasa bagi mengkaji cara-cara meningkatkan profesionalism Asatizah juga telah dibentuk dan diketuai oleh Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman.

“Ia sebagai lanjutan daripada Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Saya nanti-nantikan saranan mereka,”katanya.

Dilaporkan di sini pada Februari bahawa bilangan guru agama Islam yang diakreditasi di bawah skim kebangsaan di Singapura telah meningkat kepada lebih 4,000, naik daripada 3,000 pada 2017.

ARS, yang menjadi wajib mulai 2017, memerlukan guru agama untuk mematuhi kod etika yang termasuk tidak menggalakkan ekstremisme atau keganasan, atau tidak membantah kumpulan kaum dan agama yang lain. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *