PETALING JAYA – Penyanyi terkenal, Sinead O’Connor dilaporkan sudah memeluk agama Islam dan menggunakan nama barunya, Shuhada’ Davitt.
Perkara tersebut dimuatnaikkannya di laman sosial Twitter. Sinead yang sebelum ini menggunakan nama Magda, menyatakan beliau berbangga menjadi seorang Muslim.
Jelasnya dalam pengumuman itu lagi, beliau meninggalkan agama Kristian Katolik demi kebaikan.
“Pengumuman ini bertujuan menyatakan saya berbangga menjadi seorang Muslim. Ia kesimpulan semula jadi perjalanan mana-mana ahli agama. Kajian semua kitab suci membawa kepada Islam.
“Ia menjadikan semua kitab suci lain tidak lagi bermakna. Saya akan mempunyai nama baru. Ia adalah Shuhada’. Maaf Sine, Shuhada’,” tulisnya.
Sebelum ini Shuhada’ pernah tampil dalam satu video secara langsung di Facebook bercerita mengenai penyakit mental yang dihidapinya.
Ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat dan rakan artis yang khuatir Shuhada’ cuba membunuh diri, tetapi disangkal oleh doktor yang merawat beliau secara intensif di Amerika Syarikat.
Dalam klip video terbaru, Shuhada turut memuat naik rakaman menunjukkan beliau melaungkan azan.
Katanya, berlaku kesilapan dari segi sebutan kerana emosi menguasai diri beliau pada ketika itu, namun akan terus mencuba untuk membetulkannya.
“Ini adalah percubaan pertama saya melaungkan azan. Saya melakukan kesilapan sebutan kerana emosi, tetapi saya akan terus melakukannya beberapa ratus kali lagi. Apabila saya sudah berlatih 30 kali, saya akan membuatkan dunia terpegun,” katanya.
Shuhada juga dilihat bertudung dalam video tersebut.
“Kawan rapat saya, Elaine menghadiahkan hijab pertama ini. Tubuhnya seram sejuk seluruh badan apabila melihat saya memakainya,” katanya.
Shuhada juga menukar imej Twitter dengan perwatakan bertudung dengan kapsyen, “Sarungkan hijab. Lakukannya”.- FreeMalaysiaToday
KOMEN