KUALA LUMPUR – “Saya sudah lama ingin sembahyang, saya cemburu dengan orang Islam… Sudah bertahun tahun.
“Sebelum ini saya takut… Kerana ada banyak diskriminasi, saya mak nyah,” ujar insan yang kini bernama Ahmad Andrew dengan sebak.
Sesuatu yang tidak diduga namun dirancang dengan sempurna oleh Allah SWT apabila seorang mak nyah membuat keputusan untuk memeluk Islam di saat Daie Komuniti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) selesai operasi banjir di Temerloh, Pahang pada 28 Disember sebelum menyambung tugasan sumbangan pasca banjir di Kampung Baru di sini keesokannya.
Ia disaksikan oleh Daie Komuniti YADIM Ustaz Abdul Hadi Abdul Halim, Ustaz Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dan Ustaz Suridzal Abdul Rahim.
Ahmad Andrew berkata dia telah lama ingin memeluk Islam namun merasa malu untuk menyatakanya.
Tetapi, apabila kedatangan Daie Komuniti YADIM ke tempat kediamannya di Flat Jalan Pekeliling pada 29 Disember, secara langsung membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam pada waktu itu.
Kehadiran Daie Komuniti YADIM bertujuan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di ibu kota yang terjejas akibat banjir. Antara bantuan barang yang diberikan adalah barang keperluan diri, tilam dan juga senaskah Al-Quran. Bertitik tolak dari itulah Andrew merasakan inilah waktu terbaik beliau menyatakan hajatnya.
Menurut Ustaz Suhaimi, ketika pihaknya sedang menghulurkan bantuan, tiba-tiba Andrew datang kepadanya dan berhajat untuk memeluk Islam. Beliau kemudiannya terus meminta pendakwah terkenal, Ustaz Raihan Abdul Aziz bagi memimpin syahadah Andrew. Peristiwa itu turut sama disaksikan oleh semua ahli rombongan Daie Komuniti YADIM dan warga setempat.
Laungan takbir menyambut Andrew ketika selesai lafaz syahadahnya. Ia sebagai lambang sesebuah persaudaraan Muslim yang diikat atas aqidah Islam. Langkah seterusnya ialah membawa Ahmad Andrew ke pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kuala Lumpur bagi proses pendaftaran.
KOMEN