Home » Langit Terbuka » Sijil halal Malaysia suatu kebanggaan, jadi rujukan negara luar – Pakar

Sijil halal Malaysia suatu kebanggaan, jadi rujukan negara luar – Pakar

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Sijil halal Malaysia menjadi kebanggaan negara apabila ia diiktiraf selain turut dijadikan rujukan oleh banyak negara luar.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Dekan Industri Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff yang turut menjadi antara panel pengajar dan penasihat oleh beberapa negara termasuk Kuwait dan Dubai mengenai kaedah terbaik dalam pensijilan halal.

“Galakan kepada premis makanan mendapatkan sijil halal amat penting kerana terdapat sebahagian pengusaha hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan tidak menjaga kebersihan serta keselamatan produk makanan dijual yang akan membahayakan kesihatan pengguna.

“Atas asas itu, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkasakan pensijilan halal untuk memastikan makanan dijual itu halal, bersih dan selamat untuk rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada peniaga sama ada ingin memohon sijil halal atau tidak kerana kerajaan tidak pernah mewajibkannya,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sebelum ini, JAKIM dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli Parlimen DAP itu dilaporkan berkata, langkah itu bertentangan semangat kepelbagaian budaya, selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Izhar berkata, pihak berkuasa agama tidak pernah mewajibkan sijil halal kepada peniaga, sebaliknya memberi galakan supaya pengguna lebih yakin terhadap aspek halal dan kebersihan sesuatu produk makanan itu.

Beliau juga menyambut baik usaha JAKIM yang mempermudahkan rakyat Malaysia menyemak status pemilikan sijil halal secara dalam talian.

Berikutan kemudahan disediakan itu, katanya, rakyat mula peka terhadap perkara itu dan menyemak status premis makanan.

“Ini salah satu petanda positif yang membuktikan bahawa sijil halal kita dihormati sehingga ia menjadi rujukan setiap umat Islam yang mementingkan makanan halal dan bersih.

“Data juga menunjukkan peniaga bukan Bumiputera lebih tinggi peratusan yang memohon sijil halal berbanding peniaga Muslim. Ia membuktikan persijilan halal Malaysia diyakini semua pihak tanpa mengira agama sehingga prosesnya juga sudah dipermudahkan JAKIM,” katanya.

Beliau menyeru masyarakat berpandangan positif bagi memastikan agenda Malaysia MADANI dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

Artikel Berkaitan

Kembara YADIM Negeri Kedah dan Perlis

SELEPAS Padang Awam Taman Tungku Putra dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Flat Paya Nahu, Kembara YADIM Negeri Kedah dan Perlis sempena sambutan kemerdekaan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *