Home » Langit Terbuka » Sifat ‘tabayyun’ penting dalam menjaga keharmonian – Mohd Na’im

Sifat ‘tabayyun’ penting dalam menjaga keharmonian – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan kepentingan tabayyun atau menyelidik sebelum bertindak dalam menjaga keharmonian masyarakat, susulan insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar kerana makan di bulan Ramadan.

Beliau menekankan bahawa tindakan sedemikian tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar, sebaliknya Islam mengajar umatnya untuk bersabar, berakhlak mulia, serta menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.

“Islam mengajar kita untuk bersikap sabar, berakhlak mulia, dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.

“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Na’im turut merujuk firman Allah dalam Surah Al Hujurat, ayat enam yang mengingatkan individu bahawa bertindak secara tergesa-gesa tanpa menyelidik boleh membawa kepada kesilapan dan kekesalan.

“Saya menyeru semua umat Islam agar mengamalkan sikap sabar, berfikiran terbuka, dan menyelesaikan perbezaan dengan hikmah serta menggunakan saluran yang betul,” jelasnya.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki ditampar warga emas di sebuah premis kedai serbaneka dalam sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada mangsa, lelaki tempatan berusia 21 tahun, jam 9.08 malam tadi.

Katanya, polis masih menyiasat insiden itu dan menasihati masyarakat supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *