Home » Persuasif » Sifat malu membenteras gejala sosial

Sifat malu membenteras gejala sosial

Susunan HASHIM AHMAD

Dalam ajaran Islam, sifat malu amat dituntut sekali sebagai akhlak mulia dan terpuji. Malu dalam ajaran Islam bukanlah malu yang dimaksudkan oleh pepatah Melayu, “Malu bertanya sesat jalan, malu berkayuh perahu hanyut”. Kita sekali-kali tidak boleh malu dalam soal belajar, mencari ilmu dan menuntut kepakaran.

Malu yang dianjurkan oleh Islam ialah malu daripada melakukan perkara-perkara yang negatif sifatnya dan malu daripada meninggalkan perkara-perkara yang baik dan menguntungkan. Seorang Muslim mestilah bersifat malu dalam semua keadaan, tetapi sifat malu itu tidak menghalang kita dari memperkatakan kebenaran.

Termasuk juga dalam pengertian malu ialah perbuatan tidak campur tangan dalam urusan orang lain, menahan pandangan, ringan tulang, tidak meninggikan suara, berpada dengan apa yang ada setelah berusaha bersungguh-sungguh dan lain-lain.

Berkenaan sifat malu ini, para ulama telah mengatakan bahawa: “Sifat malu pada hakikatnya ialah suatu sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perkara-perkara yang buruk dan menghalang kita daripada mencuaikan hak orang lain”.       

Sesungguhnya sifat malu ini adalah warisan sifat para Nabi yang terus diambil dan diamalkan dari generasi ke generasi hingga sampai kepada umat Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya apa yang diperoleh manusia dari ucapan kenabian yang pertama ialah: ‘Kalau kamu tidak malu, maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki.” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW sebagai imam dan penghulu seluruh Nabi Allah SWT adalah seorang yang  sangat pemalu,  bahkan lebih malu daripada seorang gadis yang berada dalam pingitan. Malu juga adalah sifat para Malaikat Allah SWT.

Malu tidaklah menghasilkan kecuali perkara yang baik. Rasulullah SAW menegaskan perkara ini di dalam sabdanya yang bermaksud: “Malu tidak mendatangkan apa-apa kecuali kebaikan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hadis-hadis di atas menganjurkan kita untuk berhias dengan sifat malu kerana memang sifat ini tidak mendatangkan apa-apa kecuali hal yang baik dan dapat menyelamatkan seorang manusia dari perbuatan-perbuatan buruk dan tidak terpuji yang bukan sahaja dapat merosakkan diri pelakunya bahkan orang lain.

Akhlak malu dapat dibahagikan kepada dua iaitu:

  1. Malu yang memang sudah menjadi tabiat yang Allah SWT anugerahkan pada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sebagai suatu nikmat dari-Nya. Dengan malu inilah kita dapat melihat banyak orang meninggalkan perkara-perkara dosa dan maksiat.
  2. Malu yang muncul pada diri seorang hamba apabila ia menyedari bahawa Allah SWT mengetahui apa yang diperbuat hamba-hamba-Nya dan tidak ada yang tersembunyi sedikitpun dari-Nya.

Jika seorang hamba tidak memiliki satu di antara dua sifat malu di atas, maka dengan mudah ia akan melakukan perbuatan-perbuatan jahat dan maksiat kepada Allah SWT. Sebab itu, setiap orang yang banyak kadar sifat malu pada dirinya nescaya banyak pula kebaikannya. Sebaliknya, jika sedikit kadar sifat malu pada dirinya, sedikit pula kebaikannya.

Cerminan sifat malu juga terpancar pada diri dua orang puteri Nabi Syu’aib AS. Keduanya malu untuk  memberi ternakan mereka minum kerana ada penggembala-penggembala lain (lelaki) di tempat minum tersebut. Salah seorang dari puteri tersebut juga malu-malu ketika menyampaikan pesan ayah mereka, Nabi Syu’aib, kepada Nabi Musa AS sebagaimana yang Allah SWT kisahkan dalam Surah al-Qasas ayat 23 dan 25.

 

Hilangnya Sifat Malu

Dalam masyarakat kita hari ini, telah timbul pelbagai macam penyakit sosial. Hampir setiap hari dilaporkan di dada-dada akhbar mengenai rasuah politik (politik wang), rasuah bola sepak, penyelewengan dan pecah amanah, anak lari dari rumah, bapa mendera anak sendiri, gejala lepak, bohsia, bohjan, pelacuran dan banyak lagi. Kesemua ini berlaku kerana manusia sudah hilang sifat malunya.

Sifat malu amat perlu untuk memelihara masyarakat yang sejahtera. Dan untuk mencapai kemantapan sifat malu yang sebenar, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa seseorang perlu menjaga perkara-perkara berikut:

  1. Menjaga kepala dan perkara yang berkaitan dengannya (menjaga pemikiran, mata dan telinga agar menjauhi unsur negatif).
  2. Menjaga perut dan perkara yang bersambung dengannya (menjauhi makanan haram atau dari sumber yang haram, tidak menerima rasuah dan menjauhi tuntutan hawa nafsu).
  3. Mengingati mati dan segala kesusahannya.
  4. Tidak mengutamakan perhiasan dunia dan mengutama orang lain.

Pada asalnya, manusia dilahirkan dengan memiliki sifat malu. Namun ia akan terhakis apabila membiasakan diri dengan perkara-perkara maksiat. Maksiat yang dilakukan boleh menguburkan sifat malu yang lahirnya sebagai fitrah manusia.

Seorang ahli politik, pegawai kerajaan, ibu bapa, anak-anak dan golongan remaja yang baik dan pemalu akan mengisikan hidupnya dengan cara terdidik, halus perasaan, tidak terdetik dalam hatinya niat untuk melakukan perbuatan tercela yang mengganggu orang lain.

Apabila masyarakat dikuasai oleh sifat malu yang sejati, maka akan bersihlah masyarakat itu dari pelbagai macam gejala sosial. Sebaliknya, masyarakat yang penuh dengan gejala sosial, tandanya masyarakat itu telah luntur sifat malu dari anggotanya.

Menyedari hakikat ini, maka berhiaslah diri dengan sifat malu kerana sifat ini sangat indah dan suatu perhiasan yang istimewa jika kita memakainya. Ketahuilah bahawa malu untuk memerintah dan mengamalkan kebaikan serta malu untuk melarang dan meninggalkan kejahatan pada hakikatnya bukanlah malu, tetapi lebih dekat kepada penakut, atau riak yang menunjukkan kelemahan iman dan kerendahan jiwa.

Jika akhlak yang tercela ini berada pada jiwa seorang manusia, maka hendaklah segera ia membuangnya dan menggantikannya dengan akhlak malu yang mulia yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dan para Malaikat Allah SWT. Sesungguhnya sebaik-baik akhlak adalah akhlak Rasulullah SAW.  – MAJALAH DAKWAH

Hashim Ahmad ialah Pesara Guru Yayasan Islam Kelantan

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *