BANDA ACEH 3 Feb – Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian mengarahkan siasatan berhubung penahanan 12 mak nyah di wilayah Aceh selepas wujud laporan mereka dibogel, dipukul dan dipotong rambut sebelum dibebaskan tanpa dakwaan.
Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan undang-undang Syariah dan mengharamkan aktiviti homoseksual.
Polis di Utara Aceh dilaporkan menyerbu beberapa salun kecantikan pada minggu lalu dan menahan 12 mak nyah yang bekerja di premis itu.
Semua suspek ditahan selepas beberapa penduduk mengadu mereka mengusik beberapa kanak-kanak lelaki.
Aktivis hak asasi manusia dan media melaporkan, semua mak nyah yang ditangkap dipotong rambut, dibogel dan dipukul.
“Beberapa gambar yang tersebar di Internet membuatkan kami mengesyaki wujud tindakan secara fizikal diambil terhadap suspek.
“Ketua polis negara mengarahkan kami menyiasat gambar itu dan menentukan sama ada wujud sebarang perlanggaran prosedur atau etika,” kata jurucakap polis Aceh. – SINAR HARIAN
KOMEN