KUALA LUMPUR, 30 Mac ― Orang Islam harus berhati-hati bercakap dengan nada mendakwa dirinya seolah-olah tuhan, kata mufti Perlis.
Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata ungkapan seumpama itu seakan-akan “merendah penciptaan Tuhan dan menafikan hikmah ciptaan-Nya”.
“Seakan-akan apa yang Tuhan lakukan tidak tepat atau salah atau di sana ada cara yang lebih baik,” coretnya di dalam Facebook.
“[Ungkapan] ini sangat bahaya kepada akidah [individu] yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat…”
Tanpa merujuk sesiapa atau insiden tertentu, beliau memberi contoh ungkapan yang tidak wajar itu: “jika saya Tuhan saya akan lakukan begini…” atau “jika saya Tuhan, saya tidak akan lakukan begitu atau begitu…”
Ahli Parlimen Amanah Hanipa Maidin bertekak dengan wakil Umno Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan dicelah pula wakil PAS Datuk Khairuddin Aman Razali.
“Kalau saya Tuhan, dari awal saya tidak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Sudah lama saya hapuskan kamu [Abdul Azeez],” kata Hanipa seperti dilapor Berita Harian.
Hanipa ditegur Abdul Azeez ketika beliau membahaskan rang undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar di Dewan Rakyat semalam.
“Sebab saya tidak Tuhan, Tuhan jadikan juga orang macam kamu,” kata peguam itu sambil menepuk dada kiri dan menuding ke arah Abdul Azeez. – MALAY MAIL
KOMEN