Home » Naratif Al-Ghazali » Siapa Al-Ghazali

Siapa Al-Ghazali

Salah seorang ahli Teologi, ahli falsafah, dan sufi terbesar dalam Islam ialah al-Ghazali. Beliau dilahirkan pada 450 H/1058 M di kota Ghazalah dekat Tus, Khurasan, Iran Utara. Namanya diambil sempena tempat kelahirannya. Nama lengkapnya ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi al-Ghazali. Dalam bidang keilmuan, pertama sekali beliau mendalami ilmu fikah, kemudian mempelajari secara mendalam ilmu kalam dan falsafah. Setelah mencapai keharuman nama sebagai seorang sarjana, pada 1091 al-Ghazali dilantik menjadi guru besar hukum oleh Nizam al-Mulk (1018-1092), perdana menteri Sultan Maliksyah (1072-1092) dari Kerajaan Saljuk, di Madrasah Nizamiyah di Baghdad. Beliau sempat mengajar di perguruan itu selama 4 tahun dan dalam tempoh itulah beliau menulis karyanya Maqasid al-Falasifah (Maksud Ahli Falsafah) dan Tahafut al Falasifah (Kecelaruan Ahli Falsafah).

HUJJATUL ISLAM

Al-Ghazali dilihat sebagai pembela kebenaran Islam yang terbesar sehingga digelar hujjatul Islam (hujjah al-Islam) atau pembela Islam. Hingga sekarang orang Islam tetap tekun membaca karyanya yang terbesar, Ihya’ ‘Ulum al-Din (Menghidupkan Kembali Ilmu Agama). Al-Ghazali sangat berpengaruh dalam Islam, sehingga tidak menghairankan jika ada yang mengatakan bahawa beliau adalah salah seorang tokoh terpenting setelah Nabi Muhammad s.a.w., ditinjau dari segi pengaruh dan peranannya dalam menata dan mengukuhkan dajaran keagamaan.

HALAQAH

Pada 1095 al-Ghazali meninggalkan Baghdad dan mengembara dari satu tempat ke tempat lain kerana kehidupannya tergoncang oleh krisis kepercayaan dan keraguan. Pada mulanya beliau pergi ke Damsyik, lalu ke Hebron dan Baitulmuqaddis, kemudian ke Makkah dan Madinah. Beliau menjalani kehidupan zuhud (asketisme) dengan mengembara selama 10 tahun. Setelah itu, beliau kembali ke Nisabur pada 1106 untuk mengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah. Tidak berapa lama kemudian, beliau meninggalkan Nisabur, pergi ke Tus, dan mendirikan halaqah (sekolah calon sufi) di tempat kelahirannya ini. Beliau mengasuh halaqah ini sehingga ke akhir hayatnya. Perjalanan intelektual dan spiritual dalam menemukan kedamaian batin dan mengikuti jalan sufi dicurahkannya dalam autobiografinya al-Munqiz min al-Dalal (Pembebas daripada Kesesatan).

TASAWUF –SYARIAT

Al-Ghazali dipandang paling berjasa dalam mendamaikan tasawuf dan syariat sehingga tasawuf dapat diterima oleh sebahagian besar umat Islam. Beliau juga berjasa mengembangkan dan menyebarkan aliran Asy’ariyah yang dianut oleh majority Ahli Sunnah Wal Jamaah.

KRITIKAN TERHADAP AHLI FALSAFAH

Al-Ghazali mengkritik ahli falsafah dan akhirnya memilih tasawuf sebagai jalan menuju Tuhan. Dalam kritikannya terhadap ahli falsafah menerusi Tahafut al-Falasifah, beliau mengatakan bahawa ada tiga pendapat ahli falsafah yang telah membawa mereka kepada kekufuran, iaitu: alam ini adalah kadim, dalam erti tidak bermula dalam waktu; Tuhan tidak mengetahui bahagian sekecil-kecilnya dalam segala kejadian alam ini; dan tidak ada kebangkitan jasmani pada hari kiamat.

-Al-Ghazali mencapai kepuasan dan menemukan dirinya dalam dunia mistik (tasawuf). Ternyata krisis hidupnya bukan bererti ragu, tetapi berbalik arah dari dunia ke dalam batin. Al-Ghazali berkata, “Pada akhirnya saya sampai kepada kebenaran, bukan menerusi jalan akal budi serta pengumpulan bukti, melainkan  menerusi cahaya yang dipancarkan oleh Allah S.W.T. ke dalam jiwaku”.

-Karya terbesar al-Ghazali Ihya’ ‘Ulum al-Din diterjemahkan dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Melayu.

-Selain mahir berbicara, al-Ghazali juga sangat produktif menulis. Beliau sempat menulis lebih daripada 228 buku atau risalah tentang pelbagai disiplin ilmu; falsafah, kalam, logic dan tasawuf.

AL-GHAZALI

1058 – Lahir di Ghazalah dekat Tus, Khurasan, Iran Utara.

1077-1085 – Berguru dengan al-Juwaini (m. 1085 M), ahli fikah serta kalam, guru besar Madrasah Nizamiyah.

1090-1094 – Belajar falsafah.

1091 – Mengajar di Madrasah Nizamiyah Baghdad.

1095 – Mengalami konflik batin, krisis kepercayaan, dan sakit parah.

1095-1105 – Meninggalkan Baghdad, melakukan pengembaraan rohaniah dan menjalani hidup zuhud.

1106 – Kembali di Nisabur dan mengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah

1108 – Meninggalkan Nisabur dan mendirikan sekolah sufi di Tus.

1111 – Meninggal dunia di Tus

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *