PELAKON dan pelawak Shamsul Ghau Ghau mengakui masih berasa malu apabila ada yang mula memanggilnya ustaz.
Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, berkata tidak pernah terlintas difikirannya sebelum ini untuk menjadi seorang guru agama.
“Sejujurnya saya tak pernah mimpi atau terfikir pun nak jadi seorang guru dan agak malu apabila ada yang memanggil saya dengan gelaran ustaz.
“Selalunya, sebelum memulakan ceramah saya akan beritahu tetamu jangan panggil ustaz, saya segan sebab tinggi sangat tahap tu.
Shamsul menghadiri temuduga tauliah sebagai pengajar agama di Selangor.
“Apa yang saya lakukan ini hanya berkongsi ilmu dengan masyarakat dan saya anggap ini perancangan terbaik yang telah diatur oleh Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, Shamsul memberitahu dia baru sahaja lulus temuduga bagi melayakkan dirinya menerima tauliah untuk menyampaikan ceramah di negeri Selangor.
Katanya, dia perlu melalui beberapa proses ujian berkaitan agama Islam sebelum diberi kelayakan tersebut.
“Untuk bergiat aktif sebagai penceramah agama atau motivasi, kita kena ada sijil kelayakan dan kerana itu saya hadiri temuduga tersebut.
Shamsul bergiat aktif sebagai penceramah motivasi di masjid dan sekolah.
“Sebenarnya bukan mudah untuk mendapatkan sijil tersebut kerana banyak proses dan ujian yang perlu dilalui.
“Alhamdullilah, semuanya berjalan lancar dan selepas ini saya boleh berkongsi lebih banyak ilmu agama dengan masyarakat,” katanya.
Menyentuh mengenai karier seni, pelakon berusia 50 tahun ini mengakui masih aktif bergelar pelakon dan pengacara.
Bagaimanapun, katanya, terdapat produksi menyangka bahawa dia sudah bersara dan enggan berlakon.
“Industri seni ini merupakan sumber pendapatan saya dan kerana itu saya tak boleh nak berhenti menjadi seorang pelakon.
“Tetapi ada produksi yang menyangka saya tak nak berlakon lagi dan mereka fikir saya hanya boleh bawa watak bapa dan ustaz sahaja.
“Insya-Allah kalau ada tawaran yang bersesuaian, saya tidak menolak. Sesekali itu rindu juga nak beraksi depan kamera,” katanya.
Selain bergelar penceramah dan pelakon, Shamsul juga aktif sebagai pengacara dan penyanyi. – mSTAR
KOMEN