Home » Langit Terbuka » Sewa warung kecil dikecualikan SST

Sewa warung kecil dikecualikan SST

Menteri Kewangan berkata, selepas menerima pelbagai maklum balas daripada para peniaga kedai makanan dan minuman, pengecualian cukai SST berkenaan harus diberikan kepada sewaan warung-warung kecil dalam perkarangan kedai

GEORGE TOWN – Kerajaan akan beri pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) melibatkan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata selepas menerima pelbagai maklum balas daripada para peniaga kedai makanan dan minuman, pengecualian cukai SST ini harus diberikan kepada sewaan warung-warung kecil dalam perkarangan kedai.

“Pengendali kedai makanan dan minuman hanya dikenakan cukai SST selepas melebihi nilai ambang RM1.5 juta yang merangkumi makanan dan minuman sahaja dan kadar sewaan warung-warung ini bukan melibatkan makanan dan minuman. Jadi itu sewaan tidak perlu masuk dalam cukai SST,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Lim menghadiri sesi taklimat SST yang dihadiri lebih 300 peniaga dan wakil syarikat industri.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam dan Exco Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh.

Lim turut mengumumkan penjualan rokok di kedai berkenaan yang tidak mencapai nilai ambang sebanyak RM500,000 setahun juga akan diberi pengecualian cukai SST.

Katanya, kerajaan bersetuju nilai ambangan kedua-dua barangan berkenaan diasingkan kepada RM1.5 juta setahun bagi makanan dan minuman, manakala RM500,000 untuk rokok.

“Pengecualian SST ke atas penjualan rokok di kedai makanan dan minuman yang nilai ambangannya kurang daripada RM500,000 ini akan membantu peniaga untuk mengurangkan bebanan mereka dengan barangan itu akan dijual pada harga sama di kedai lain,” katanya.

Lim juga berkata kerajaan sedang memberi pertimbangan untuk memberi pengecualian cukai kepada pengendali sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan yang berpangkalan di luar kawasan Zon Industri Bebas (FIZ) yang memberi perkhidmatan kepada syarikat di kawasan berkenaan.

“Ini bagi memberikan dorongan kepada sektor R&D tempatan dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 dan meningkat daya saing dalam kalangan pemain industri tempatan,” katanya.- FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *