KUALA LUMPUR 19 Januari – Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini sebulat suara bersetuju untuk inisiatif bersama antara pertubuhan itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Asean diterokai untuk membantu kerajaan Myanmar mengadakan dialog antara agama di negara itu.
Ketika ditemui pada Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar OIC mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar, di sini hari ini, ketua delegasi setiap negara anggota meminta Setiausaha Agung OIC mengkaji kemungkinan bagi permintaan itu dengan rakan sejawatan di PBB dan Asean.
Ini ialah antara 22 resolusi yang dicapai pada mesyuarat sehari itu, untuk meningkatkan lagi persefahaman, toleransi dan kerjasama di kalangan masyarakat etnik dan agama di negara ini dan di rantau Asia Tenggara secara lebih luas.
Selain itu, mesyuarat khas berkenaan juga meminta Setiausaha Agung berhubung dengan kerajaan Myanmar untuk membolehkan delegasi peringkat tinggi dari Kumpulan Hubungan OIC, melawat wilayah Rakhine, selain meminta kerjasama kerajaan Myanmar membenarkan lawatan itu.
Ketua delegasi juga meminta Kumpulan Hubungan OIC di New York, Geneva dan Brussels mengadakan mesyuarat Kumpulan Hubungan dari semasa ke semasa untuk mengkaji situasi masyarakat Rohingya.
Sementara itu, menurut pernyataan muktamad yang dibacakan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman, mesyuarat juga memutuskan untuk menggalakkan Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia OIC untuk terus meninjau situasi masyarakat Rohingya sebagai isu keutamaan dalam agendanya.
Mesyuarat juga mengulangi desakannya kepada kerajaan Myanmar untuk mengembalikan kerakyatan masyarakat Islam Rohingya yang dimansuhkan dalam Akta Kewarganegaraan 1982.
Mesyuarat juga menghasilkan satu lagi dokumen penting iaitu draf Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Palestin dan Kota Al Quds Al Sharif.
Dokumen itu menekankan mengenai pemusatan perjuangan Palestin bagi negara anggota OIC, dan mengimbas kembali semua resolusi berkaitan yang diterima pakai oleh OIC, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan,
mengenai penempatan haram Israel di wilayah yang diduduki di Palestin termasuk Baitulmaqdis Timur.
Draf itu juga mengulangi tindakan OIC mengutuk pembinaan penempatan haram yang dilakukan oleh Israel, kuasa penjajah, untuk menjajah wilayah Palestin termasuk al-Quds, dan juga mengulangi ciri-ciri kepusatan, agama dan kerohanian Kota Al-Quds Al-Sharif. –Bernama
KOMEN