PUTRAJAYA – Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) akan mengadakan Majlis Muafakat MAWAR-YADIM Bersama NGO Wanita Islam pada 11 September ini bermula pukul 8.30 PAGI hingga 1.00 petang bertempat di Bangi Convention Centre (BCC) Bandar Baru Bangi.
Tujuan program ini diadakan adalah sebagai satu sesi ramah mesra di antara MAWAR-YADIM dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Wanita Islam, sekaligus memperkenalkannya melalui sesi taklimat yang akan diadakan.
Dengan adanya majlis ini juga, diharapkan dapat membentuk jalinan kerjasama dalam melaksanakan program bersama NGO yang memiliki kompetensi dalam menangani masalah dalam institusi kekeluargaan.
Secaa ringkasnya, MAWAR adalah sebuah majlis yang ditubuhkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melalui penjenamaan semula majlis yang ada sebelum ini iaitu, Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM).
Penubuhan majlis ini adalah bertujuan untuk menggembleng secara kolektif tenaga, idea dan kepakaran kaum wanita dalam pelbagai disiplin keilmuan bagi memartabat dan menggerakkan potensi serta keprihatinan mereka untuk pembangunan ummah dalam aspek pendidikan, sosial dan kebajikan.
Ahli-ahli MAWAR terdiri daripada para pemimpin wanita dari pelbagai pertubuhan wanita Islam, ahli-ahli akademik dan profesional serta mereka yang berpengalaman dan yang telah menyumbang kepada kemajuan wanita.
MAWAR menjalankan program pengukuhan keluarga, mempergiat program bagi meningkatkan kesedaran di kalangan wanita menerusi wacana, seminar, dialog dan yang berkaitan dengan pelbagai isu melibatkan wanita, keluarga dan masyarakat.
Secara ringkasnya objektif MAWAR adalah seperti berikut
- Menyatupadukan para intelek wanita dalam satu kesatuan pemikiran (wahdatul fikr) berasaskan al-Quran, al-Sunnah, ijma’ ulama dan qias dilengkapi dengan ilmu dan teknik terkini.
- Menyelaras pertubuhan-pertubuhan wanita islam badan bukan kerajaan (NGO).
- Badan induk untuk memperkukuhkan dan memantapkan institusi
- Meningkatkan penyertaan dan peranan aktif wanita, keluarga dan masyarakat sebagai penyumbang dan penerima faedah dalam arus globalisasi.
- Menjadi jurubicara wanita Islam dalam menyuarakan pandangan mengenai dasar dan kedudukan wanita dalam masyarakat di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
KOMEN