Home » Langit Terbuka » Sesi libat urus Persekutuan, negeri tangani isu keselamatan pusat tahfiz

Sesi libat urus Persekutuan, negeri tangani isu keselamatan pusat tahfiz

Zulkifli ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Seminar Kefahaman Madani bertempat di University College Sabah Foundation (USCF) - Foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melaksanakan sesi libat urus dan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan inisiatif bagi mengatasi isu keselamatan khususnya insiden kebakaran pusat tahfiz.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata ada beberapa inisiatif sedang diusahakan pihaknya untuk diselaraskan dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, sesi libat urus dan perbincangan dilakukan berikutan perkara berkaitan hal ehwal Islam tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Ada beberapa inisiatif sedang kita usahakan. Namun begitu, melihat kepada landskap pendidikan Islam dan juga dengan pendidikan arus perdana ada (melibatkan) Kementerian Pendidikan.

“Jadi kita telah melakukan sesi libat urus dengan semua (kerajaan) negeri untuk menyelesaikan isu ini. Di antaranya pendaftaran dan juga ada aspek teknikal di mana yang itu sedang dilakukan.

“Insya-Allah doakan, kita sudah ada perbincangan dengan semua negeri dan sedang dilaksanakan cuma untuk mengumumkan (inisiatif) masih dalam proses. Kita menghormati bidang kuasa negeri (masing-masing) apabila membabitkan pendidikan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Seminar Kefahaman Madani bertempat di University College Sabah Foundation (USCF), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sesi libat urus dan perbincangan bersama kerajaan negeri dilakukan dengan mengambil kira semua aspek bagi memastikan keselamatan pelajar tahfiz.

“Dari aspek pentadbiran kita sudah lakukan, dari segi perundangannya pun kita cuba lakukan. Isu ini bukan isu picisan, bukan isu terpinggir.

“Kita ingin menyelesaikan secara menyeluruh daripada (perkara berkaitan) pendaftarannya, dari segi bantuan kewangannya dan keselamatannya. Kita tengok aspek perbincangan dengan pihak (kerajaan) negeri dan juga kementeriannya.

“Faktor keselamatan perlu diutamakan kerana membabitkan nyawa anak-anak (pelajar tahfiz), kita akan cuba pastikan segala yang kita kehendaki itu memenuhi aspek keselamatan,” katanya.

Mengulas mengenai program, Zulkifli berkata seminar anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Yayasan Sabah, UCSF dan Badan Kebajikan Islam Yayasan Sabah (BAKIYS) itu menekankan konsep MADANI dalam pembangunan mampan Sabah selari agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *