ISTANBUL, Selasa – Dua wanita melepaskan tembakan ke arah pejabat Konsulat Amerika Syarikat (AS) yang dikawal ketat, sementara penyerang lain meletupkan bom kereta berhampiran balai polis dan menembak ke arah anggota polis yang menyiasat tempat kejadian di sini, semalam.
Di tenggara Turki pula bom yang dipasang di tepi jalan membunuh empat anggota polis, manakala pemberontak Kurdis menyerang helikopter menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh.
Sebelum ini, berlaku pertempuran hebat antara pasukan keselamatan Turki dan pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK), selepas jet pejuang Turki menyerang kedudukan PKK di Iraq serentak dengan serangan ke atas militan IS di Syria.
Seorang daripada penyerang di pejabat Konsulat AS itu bagaimanapun ditembak sebelum ditangkap dan kini dirawat di hospital. Wanita kedua masih bebas dan sedang diburu.
Tentera Gerakan Revolusi Pembebasan (DHKP-C) mengenal pasti wanita itu, Hatice Asik, 51 tahun, dan berkata, dia adalah anggota pergerakan itu. DHKP-C dan PKK, kedua-duanya berfahaman Marxisme pernah bekerjasama dalam perjuangan mereka, namun tiada petunjuk mengatakan PKK terbabit dalam serangan itu.
Sejam sebelum itu, bom kereta diletupkan berhampiran balai polis di bandar ini mencederakan tiga anggota polis dan tujuh orang awam selain menyebabkan kebakaran yang meruntuhkan sebahagian bangunan tiga tingkat berdekatan.
Menurut pejabat Gabenor Istanbul, suspek yang meletupkan bom kereta itu turut terbunuh.
Sementara itu, penyerang tidak dikenali pula melepaskan tembakan ke arah polis yang memeriksa tempat kejadian, mencetuskan tembak menembak menyebabkan seorang anggota polis dan dua penyerang terbunuh.
Bulan lalu, pihak berkuasa Turki melakukan pembersihan besar-besaran apabila menangkap lebih 1,300 individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan pertubuhan yang diharamkan, termasuk PKK, DHKP-C dan militan IS.
Turki juga mula mengambil langkah utama dalam memerangi militan IS. Bulan lalu, Turki melancarkan serangan udara ke atas kedudukan IS di Syria dan membenarkan pakatan tentera diketuai AS menggunakan pangkalan udaranya bagi memerangi IS.
Ahad lalu, AS mengumumkan penempatan enam jet pejuang jenis F-16 dan lebih 300 anggota tenteranya mula tiba di Pangkalan Tentera Incirlik.
Dalam pertempuran semalam, pemberontak Kurdis di tenggara wilayah Sirnak menembak ke arah helikopter membawa anggota tentera yang bercuti, membunuh seorang daripadanya dan mencederakan yang lain.
Empat anggota polis juga terbunuh apabila kereta perisai mereka terkena letupan bom yang diletak di tepi jalan.
DHKP-C yang mendakwa melakukan beberapa siri pembunuhan dan pengeboman sejak 1970-an disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh AS. Mereka mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan bunuh diri di Kedutaan AS di Angkara pada 2013 yang menyebabkan pengawal keselamatan Turki terbunuh.
Kedutaan AS dalam satu kenyataan selepas serangan itu berkata, pegawainya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Turki bagi menyiasat kejadian itu, manakala pejabat konsulat berkenaan akan ditutup buat sementara waktu. – Agensi
Sumber daripada www.ismaweb.net
KOMEN