SHAH ALAM: Polis menyerahkan tindakan lanjut kepada mahkamah sekiranya Rozita Mohamad Ali, 44, masih gagal menghadiri prosiding mendengar permohonan semakan semula hukuman dikenakan terhadapnya atas pertuduhan mendera pembantu rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pihaknya sudah menyerahkan notis kehadiran ke mahkamah kepada Rozita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kira-kira jam 3 petang kelmarin.
“Jika dia masih tidak menghadiri prosiding itu, tindakan lanjut terpulang kepada mahkamah kerana kita sudah menyerahkan notis kepadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Sempena Hari Polis Ke-211 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, hari ini.
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi di sini memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk mengesan Rozita berikutan kegagalannya hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan semakan semula hukuman dikenakan terhadapnya.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Mac ini.
Mengulas lanjut, Fadzil berkata, selepas menerima arahan mahkamah, polis berusaha mengesan Rozita dan memintanya hadir ke IPD untuk diserahkan notis itu.
“Kini, dia sudah menerimanya dan perlu akur untuk hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Rozita akan dikenakan waran tangkap jika masih gagal hadir ke mahkamah, katanya, ia juga bergantung sepenuhnya pada keputusan mahkamah.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya setakat ini tidak dapat mengesahkan wanita berkenaan memiliki gelaran Datin.
“Sepanjang proses siasatan, kita merekodkan namanya hanya sebagai Rozita Mohamad Ali,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan wanita itu sudah disenarai hitam untuk ke luar negara atas arahan mahkamah.
Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita atas pertuduhan mendera pembantu rumahnya, selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Suri rumah itu sebelum ini berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi pertuduhan asal, iaitu cubaan membunuh, namun pihak pendakwaan menawarkannya pertuduhan pindaan (menyebabkan cedera parah).
Bagaimanapun, pelbagai pihak menzahirkan tidak puas hati, termasuk Pejabat Peguam Negara yang turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, malah lebih 70,000 individu menandatangani petisyen menerusi laman sesawang Change.org setakat ini yang menuntut hukuman lebih tegas.
Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing dan penyangkut baju yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa pada 2016. – BERITA HARIAN
KOMEN