Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan
Syeikh as-Sya’rawi berkata dalam tafsirnya: “Kenapa Allah menyebut hati dan menyifatkannya dengan keras, di samping tidak menyebut berkenaan jiwa atau nafsu?”
Jawapan kepada soalan itu adalah kerana hati merupakan tempat yang lembut, rahmat dan penuh kasih sayang. Apabila hati diisi dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang. Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan.
Untuk melihat betapa kuat, berkuasa dan luasnya hati yang diisi dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud: “Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik iaitu al-Quran yang serupa (nilai ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka pada waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.”
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati.”
Hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras. Kenapa? Kerana ia beriktikad kepada kehidupan dunia dan maddi (kebendaan) sahaja. Justeru, ia cuba mendapatkan apa kehendak hatinya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif. Inilah puncanya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 74 yang bermaksud: “Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedangkan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.”
Abu al-Laith meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Darda’ RA bahawa dia mendengar Salman al-Farisi RA mahu membeli seorang hamba sebagai khadam, lantas beliau menulis surat kepada Salman. Di antara isinya:
“Wahai saudaraku, gunakanlah masa hidupmu untuk kepentingan ibadat sebelum tiba bala yang menyebabkan kamu tidak dapat beribadat, dan gunakanlah kesempatanmu untuk mendapat berkat doa daripada orang yang menderita bala, dan rahmatilah anak yatim, usaplah kepalanya dan berikan makanan kepadanya supaya lembut hatimu dan terlaksana hajatmu.
“Wahai saudaraku, aku pernah menyaksikan ketika Nabi SAW didatangi seseorang yang mengeluh kerana berasa keras hatinya, maka Nabi SAW bersabda: “Adakah kamu mahu supaya hatimu menjadi lembut dan diperkenankan hajatmu?” Jawabnya: “Ya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Rahmatilah anak yatim dan usaplah kepalanya, dan berikanlah makanan kepadanya, nescaya akan lembut hatimu dan tercapai hajatmu.”
“Saudaraku, jadikan masjid seperti rumahmu, kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Masjid-masjid itu sebagai rumah orang-orang bertakwa, dan Allah telah menjamin orang-orang yang menjadikan masjid itu seperti rumahnya dengan kelapangan hati, kesenangan, kepuasan serta mudah menyeberangi titian sirat dan selamat daripada api neraka dan segera menuju keredaan Allah Taala.”
Seperti batu bahkan lebih keras lagi. Sebahagian hati sama seperti batu dan sebahagian yang lain lebih keras daripada batu – seperti besi. Di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; yang begitu banyak air dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah, lalu keluar mata air daripadanya; dan daripada batu yang pecah kerana takut kepada kebesaran Allah sehingga keluar air.
Syeikh an-Nasafi dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil, berkata: “Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering. Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah. Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan. Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; ada yang jatuh dari gunung-ganang kerana takut kepada Allah, sedangkan kamu wahai Yahudi tidak memberi kesan dan tidak takut kepada Allah.”
Firman Allah Taala dalam Surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud: “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”
Sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. Pasti Allah membalasnya pada Hari Kiamat. Ingatlah bahawa Allah Taala tidak terlepas pandang sesuatu pun dan Maha Mengetahui atas setiap perbuatanmu dan pasti kamu bertemu dengan-Nya pada Hari Kiamat serta amat berhajat dengan segala rahmat dan keampunan-Nya. Justeru, jangan sekali-kali menjadikan hatimu keras sehingga dibuang daripada mendapat rahmat Allah sebagaimana sunyi hatimu daripada zikrullah.
Sayid Qutub berkata: “Apabila hati mereka dibandingkan dengan batu, tiba-tiba hati mereka lebih kering dan lebih keras lagi daripada batu. (Batu yang dibandingkan dalam ayat ini) ialah batu yang pernah diketahui mereka sebelum ini kerana mereka telah melihat batu yang mengalirkan dua belas mata air, dan mereka juga melihat batu-batu bukit bergegar apabila Allah ber-tajalli di bukit itu dan Musa AS rebah pengsan, tetapi hati mereka tidak juga lembut dan tidak juga melahirkan degup takut dan takwa. Hati mereka terus keras, pejal, kering dan kafir. Oleh sebab itulah (al-Quran menyebut) ancaman ini kepada mereka.“- MAJALAH DAKWAH
KOMEN