Home » Langit Terbuka » SENIMAN gesa mansuh kewarganegaraan Namewee

SENIMAN gesa mansuh kewarganegaraan Namewee

Presiden Seniman, Zed Zaidi.

SEREMBAN: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mencadangkan kerajaan memansuhkan kewarganegaraan Wee Meng Chee atau Namewee berhubung penghasilan video muzik terbarunya, minggu lalu.

Presidennya, Zed Zaidi, berkata Namewee berulang kali menimbulkan kontroversi dan tidak peka terhadap kepelbagaian agama serta budaya masyarakat negara ini.

Katanya, klip video berjudul ‘Like A Dog’ untuk sambutan Tahun Baharu Cina 2018 menampakkan penarinya memakai pakaian berkepala anjing sambil melakukan tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Pihak kami (SENIMAN) menyifatkan Namewee seorang yang biadap. Mungkin dia terlalu lama menetap di luar negara hingga tidak memahami sensitiviti agama dan budaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zed berkata, perbuatan itu bukan sekali tetapi berulang dan sepatutnya Namewee dipenjara atau dimansuhkan kewarganegaraan.

“Sebagai persatuan artis, kami berharap kerajaan mengharamkan Namewee untuk mengadakan persembahan awam. Ia berikutan Namawee mencalarkan imej penyanyi,” katanya.

Beliau berkata, biarpun penyanyi mempunyai kebebasan menyatakan pendirian, mereka harus sedar mengenai sensitiviti orang lain.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada Namewee supaya memberi perhatian terhadap norma budaya dan agama di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kelmarin memaklumkan penyanyi itu sedang disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *