Home » Langit Terbuka » Semua pihak diminta tenang dan jaga sensitiviti agama-Dr Zulkifli Hasan

Semua pihak diminta tenang dan jaga sensitiviti agama-Dr Zulkifli Hasan

Dr. Zulkifli (tengah, berbaju putih) ketika menyampaikan sumbangan Ramadan kepada peserta program ‘Wanita Darulaman Bertadabbur’ di Jitra. - Karangkraft

JITRA – Semua pihak diminta bertenang dan menjaga sensitiviti agama masing-masing dalam menghadapi sebarang perkara berbangkit termasuk isu berkaitan penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yakin isu berkenaan dapat diselesaikan secara berhikmah, aman dan harmoni.

Menurutnya, semua pihak juga perlu akur dengan saranan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu tersebut.

“Kita ingin bawa semangat Ramadan itu untuk melihat dan meneliti apa pun keputusannya adalah untuk kepentingan bersama.

“Kepentingan Malaysia dan insya-Allah ianya akan berjaya diselesaikan sebaiknya dengan mengambil kira semua perkara yang terbabit.

“Jadi kepada semua rakyat Malaysia mari kita berdamai, kita tenang, santai-santai. Kita fokus untuk membangunkan negara kita. Kita kena jaga sensitiviti masing-masing bukan sahaja satu pihak. Semua pihak kena jaga sentimen masing-masing. Kita kena mengenali antara satu sama lain”, katanya demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Wanita Darul Aman Bertadabbur di Pusat Pendidikan Al Azhar, Mukim Gelong, di sini.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India itu.

Perdana Menteri berkata, isu berkenaan telah dirundingkan selama bertahun-tahun dan bukan rundingan baharu.

Beliau berharap agar tidak ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat mengenai isu itu dan berharap ia dapat ditangani dengan baik. – RTM

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *