Home » Langit Terbuka » Sempat peluk Islam beberapa minit sebelum meninggal dunia

Sempat peluk Islam beberapa minit sebelum meninggal dunia

KUALA NERANG 27 Mac – Hasrat seorang remaja untuk memeluk Islam tercapai walaupun hanya sempat mengucap dua kalimah syahadah beberapa minit sebelum meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan di sini, pagi tadi.

Mangsa, Azyet Jopilin, 17, dari etnik Rungus yang berasal dari Kampung Teringai Darat, Kota Marudu, Sabah sepatutnya pergi ke pejabat agama di sini untuk urusan menukar agama pada pukul 2 petang, namun menemui ajalnya lebih awal.

Bapanya, Abdul Aziz Abdullah yang telah memeluk Islam selama lapan tahun dan menetap di Kampung Dalam, Mukim Kurung Hitam dekat sini berkata, sebelum kejadian dia dan dua anak lelakinya termasuk Allahyarham pergi menoreh getah di sebuah kebun milik majikannya.

“Bagaimanapun, setelah selesai menoreh di kebun pertama, dia tidak mahu mengikut kami ke kebun kedua kerana mahu balik ke rumah. Malangnya dia tidak membawa kunci rumah dan berpatah balik ke kebun.

“Sewaktu dalam perjalanan dia terbabas lalu terlanggar pokok… orang kampung yang pertama tiba di lokasi mengajarnya mengucap kerana memang sudah maklum akan niatnya memeluk Islam, sebelum dia meninggal dunia,” katanya.

Abdul Aziz memberitahu, Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik baru empat bulan berada di Kedah kerana sebelum ini tinggal bersama neneknya di Kota Marudu.

“Memang dia sudah lama berniat mahu memeluk Islam dan turut belajar perkara asas dalam Islam seperti sembahyang dan mengucap dua kalimah syahadah.

“Dia ada berkata pada saya mahu bekerja kilang selepas ini dan kumpul duit untuk membeli motosikal,” katanya dan menyifatkan Allahyarham seorang yang periang dan suka menyakat adik-adiknya.

Walaupun sedih, Abdul Aziz berkata, beliau amat bersyukur kerana Allahyarham meninggal dalam keadaan sudah memeluk Islam malah jenazahnya turut diuruskan mengikut cara Islam. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *