Home » Langit Terbuka » Seminggu murid menangis, pujuk guru Melayu SJKC jangan pindah sekolah

Seminggu murid menangis, pujuk guru Melayu SJKC jangan pindah sekolah

Nurshawati Abd. Wahab, 26, turut mengakui terkejut dengan video berkenaan yang mendapat pelbagai respon positif daripada masyarakat

KUALA LUMPUR – Seorang guru perempuan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nyuk Hwa Semporna yang dikerumuni anak muridnya sambil menangis agar tidak berpindah sekolah dalam sebuah video yang tular di media sosial tidak menyangka dirinya menjadi perhatian dan disayangi anak muridnya.

Malah dia, Nurshawati Abd. Wahab, 26, turut mengakui terkejut dengan video itu yang mendapat pelbagai respon positif daripada masyarakat.

Jelas Nurshawati, dia sendiri tidak mengetahui apa punca sebenar dirinya terlalu disayangi murid-murid seperti yang terpapar dalam video tersebut.

“Memang budak-budak ni agak rapat dengan saya. Mungkin mereka lebih senang meluahkan masalah samada mereka gembira atau tidak gembira pun mereka kongsi juga dengan saya. Mungkin ini juga disebabkan saya adalah guru kaunseling mereka.

“Dalam minggu lalu memang anak-anak murid dah tahu yang saya akan berpindah dan mereka dah mula menangis serta merayu supaya saya jangan pindah. Tapi saya tak sangka pula pada hari Jumaat tu mereka boleh menangis sampai macam tu sekali,” katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, video yang berdurasi 3.54 saat yang dimuat naik di laman Facebook milik guru itu menjadi tular dan ditonton lebih 53 ribu pengguna Facebook.

Pelajar-pelajar dari pelbagai kaum tersebut menangis sambil memeluk Nurshawati beramai-ramai sambil merayu agar beliau tidak berpindah ke sekolah lain.

Nurshawati yang mula berkhidmat di SJKC Nyuk Hwa Semporna sejak awal 2016 terpaksa memujuk murid-muridnya dengan berkata, dia sayang kepada mereka semua dan meminta pelajarnya masuk semula ke dalam kelas untuk meneruskan pelajaran.

Namun anak-anak muridnya terus memeluk Nurshawati sambil menangis dan merayu agar beliau membatalkan hasrat berpindah sekolah lain.

Semasa bertugas di SJKC Nyuk Hwa, Nurshawati ditugaskan sebagai guru Bimbingan Kaunseling separuh masa serta turut terlibat sebagai guru akademik dalam subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Seni Visual.

Namun disebabkan keperluan perkhidmatan, Nurshawati terpaksa berpindah ke sekolah baharu dalam daerah yang sama iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul 2, Semporna sebagai guru kaunseling sepenuh masa.

“Ramai yang bagi hadiah dan kad ucapan yang mereka buat sendiri daripada kertas buku latihan. Semua bagi ucapan cakap tak nak saya pindah. Saya tidak sangka pula saya ini sangat penting dalam hidup mereka.

“Walau saya dah pindah, saya harap mereka tak lupa apa yang telah saya ajar dan semoga hubungan rapat yang terbina ini tidak akan terputus di sini sahaja hanya kerana saya pindah. Saya harap mereka akan teruskan sikap-sikap yang baik dan rajin supaya berjaya di masa hadapan,” tambahnya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *