Home » Citra Yadim » Seminar Jati Diri Memperkasa Institusi Penghulu

Seminar Jati Diri Memperkasa Institusi Penghulu

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) telah menganjurkan Seminar Jati Diri Memperkasa Institusi Penghulu yang dihadiri hampir 500 penghulu dan penggawa dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Program dua hari itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan telah dirasmikan penutupannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Disember.

Turut hadir dalam majlis penutupan itu adalah menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Mohamad.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyatakan kepentingan peranan seorang penghulu dan penggawa terutama dalam menyalurkan informasi kepada masyarakat di mukim masing-masing serta menyampaikan permasalahan penduduk kepada pihak atasan.

“Kerajaan memerlukan gambaran sebenar permasalahan rakyat daripada penghulu dan penggawa bagi membantunya menyelesaikan setiap masalah yang diadukan.

“Justeru, penghulu dan penggawa perlu menyalurkan maklumat sahih itu kerana semuanya amat penting dalam membantu kerajaan mengolah sesuatu dasar supaya ia benar-benar dapat menyelesaikan setiap permasalahan.

Beliau berkata, para penghulu dan penggawa yang berada di mukim masing-masing adalah yang paling dekat dengan rakyat dan akar umbi.

“Kalau saya sebut selama ini kita mesti mendengar, mengetahui dan merasai denyut nadi rakyat, maka golongan penghulu dan penggawalah yang boleh merasai denyut nadi rakyat,” katanya.

Seminar Jati Diri Memperkasakan Institusi Penghulu diadakan antara lain bertujuan untuk mendedahkan kepada semua Penghulu dan Penggawa dengan gaya kepimpinan menurut perspektif Islam.

Selain itu, seminar ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan setiap penghulu dan penggawa mengenai  isu-isu semasa terutama berkaitan perang pemikiran dan memberi kesedaran tentang ideologi dan semangat patriotisme yang perlu ada di dalam setiap diri individu.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *