PETALING JAYA – Selepas Malaysia tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini, bendera Malaysia dilihat berkibar di Gaza sebagai tanda penghargaan oleh rakyat Palestin.
Peminat bola sepak Palestin meraikan pendirian Malaysia dalam solidariti dengan mengibarkan bendera Malaysia di Stadium Yarmouk, salah satu stadium tertua di Kota Gaza, semasa perlawanan bola sepak pada Sabtu.
Di sebelah bendera itu terdapatnya sepanduk dengan slogan menyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri lain kerana pendirian mereka terhadap Israel.
“Terima kasih Malaysia kerana berpendirian menentang normalisasi (hubungan) dengan apa yang dipanggil ‘Israel’,” tulis sepanduk itu.
Pada Ahad, peminat bola sepak terus meraikannya dengan memasang bendera Malaysia dan sepanduk yang sama di Stadium Palestin, tuan rumah pasukan bola sepak kebangsaan Palestin, yang dibom Israel pada 2006.
“Pemasangan (bendera dan sepanduk) di padang bola sepak merupakan tanda sokongan untuk Malaysia, untuk memperlihatkan bagaimana rakyat Palestin berbangga.
“Pendirian Malaysia diterima dengan baik oleh Palestin, terutama di Gaza,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran kepada FMT.
Beliau berkata rakyat Palestin cepat bertindak balas di media sosial di bawah hashtag #supportMalaysia, dan solidariti dengan Malaysia tersebar luas di Facebook, Twitter dan Instagram.
Putrajaya sebelum ini mengumumkan ia akan melarang atlet Israel daripada bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak, dari 29 Julai hingga 4 Ogos.
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah kemudoan dilaporkan berkata Malaysia sangat meluat dengan kenyataan jurucakap Kementerian Luar Negeri Israel yang menuduh Malaysia tidak mempunyai semangat Olimpik dan melabel Dr Mahathir Mohamad anti-Yahudi.
Bercakap kepada Oxford Union Society di Britain pada Sabtu, Dr Mathathir mengulangi pendirian kerasnya terhadap Israel.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Israel, Emmanuel Nahshon mengecam larangan itu dan berkata keputusan itu diinspirasikan oleh sikap anti-Yahudi melampau Dr Mahathir.
Di Muar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Israel adalah hipokrit terbesar dalam kutukan terhadap Malaysia.
“Kenyataan Israel memaparkan sendiri sikap hipokrit mereka apabila menyatakan Malaysia mempolitikkan sukan, sedangkan mereka sendiri melakukan perbuatan sama apabila menyekat pasukan bola sepak Gaza untuk memasuki tebing barat ketika perlawanan akhir piala dunia Palestin, bukankan itu politik terhadap sukan?” katanya menerusi Instagram.
“Adakah Israel lupa bagaimana mereka sendiri meletakkan tekanan terhadap Persatuan Bola Jaring Amerika Syarikat NBA dengan memaksa untuk mengecualikan Palestin dari senarai perlawanan ketika 2018?” soalnya. – FreeMalaysiaToday
KOMEN