Home » Langit Terbuka » Selangor fatwa GISBH sesat, menyalahi akidah dan syariat

Selangor fatwa GISBH sesat, menyalahi akidah dan syariat

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mewartakan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli Global Ikhwan Services And Business Holdings Sdn. Bhd (GISBH) dan rangkaiannya menyeleweng dari aspek akidah dan syariat menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusinya Tan Sri Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, fatwa sesat yang mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah itu telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Oktober 2024.

Berdasarkan fatwa tersebut, umat Islam di Selangor dilarang serta diharamkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

“Justeri individu terlibat dengan ajaran yang diharamkan ini hendaklah bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dan pihak berkuasa berkaitan bertanggungjawab melaksanakan pemulihan kepada mereka.

“Umat Islam di Selangor dinasihatkan menghormati dan tidak melakukan tindakan bercanggah dengan fatwa tersebut. Mana-mana individu yang mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah menjadi kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MAIS bersama agensi kerajaan Selangor termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa bagi melaksanakan tanggungjawab pemulihan.

Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses Istitabah dan kaunseling, katanya.

MAIS turut menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini.

Untuk rekod, Selangor menjadi negeri keenam yang mewartakan ajaran GISBH sesat selain Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.—AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

RUU Mufti bukan sesuatu yang baru dan radikal

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 bukanlah akta atau undang-undang baharu dan radikal. Mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *