Home » Langit Terbuka » Sekular tidak kena tempat turut menyumbang

Sekular tidak kena tempat turut menyumbang

OXFORD, Britain 9 Nov. – Ekstremisme, radikalisme, dan keganasan bukan sahaja didorong oleh kesesatan orien­tasi agama, bahkan disebabkan sekular yang tidak kena pada tempatnya, kesukuan serta gabungan kepentingan manusia lain, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri, ketika menyampaikan ucapan sulungnya di Pusat Kajian Islam Oxford (OCIS), Universiti Oxford, justeru menegaskan perlunya semua pihak menggalas tanggungjawab untuk mengislah segala elemen trend negatif dengan menangani faktor dalaman dan luaran secara serentak dan bersungguh-sungguh.
Walau bagaimanapun, beliau tidak pula bersetuju jika ajaran-­ajaran sesat dan tindakan dahsyat minoriti yang terpencil diletakkan di bahu majoriti yang tidak bersalah.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak adil tetapi juga membayangkan satu bentuk ekstremis­me, bahkan dalam sesetengah kes dianggap keganasan.
“Ini secara tidak sengaja akan menjadi alasan berguna untuk ekstremis sebenar dan pengganas mewajarkan ketidakpercayaan mereka terhadap pendapat majoriti, undang-undang serta konvensyen antarabangsa, seterusnya merekrut ahli baru mereka di seluruh dunia,” katanya di hadapan lebih 200 ahli akademik dan penuntut universiti tersohor itu serta para diplomat asing.
Ahmad Zahid ialah tokoh pertama diberi penghormatan menyam­paikan ucapan di Auditorium Malaysia OCIS yang baru sahaja siap pembinaannya di bangunan baharu pusat kajian itu yang dibiayai oleh negara-negara Islam.
Malaysia menyumbang RM12 juta khusus untuk membina auditorium tersebut termasuk melengkapkan hiasan dalamannya de­ngan ukiran kayu warisan tempatan.
Jemputan menyampaikan syarahan khas di auditorium OCIS ini menjadi fokus utama lawatan kerja lima hari Timbalan Perdana Menteri ke United Kingdom (UK) bermula Isnin lalu.
Berucap di bawah tajuk, ‘Pengislahan radikalisme dan ekstre­misme’, Ahmad Zahid membangkitkan lazimnya fokus untuk menangani radikalisme dan eks­tremisme adalah dengan ‘mencabut akar’ atau ‘menghapuskan’ sumber dan puncanya.
Sedangkan, katanya, fenomena itu telah memangsakan bukan sahaja orang yang disasarkan secara langsung, tetapi juga umat Islam di seluruh dunia dan pada masa sama, menyemarakkan perasaan Islamofobia.
“Untuk mencabut pokok, ia tidak cukup sekadar hanya mencabutnya dari tanah, kerana baki akar pokok terbabit mungkin masih hidup dan akan terus hidup dan membiak. Menghapuskan pokok melibatkan juga mekanisme lain sehingga semua sisa tersem­bunyi dihapuskan dengan berkesan.
“Dengan cara yang sama tetapi lebih rumit, pengislahan ekstre­misme, radikalisme, dan kega­nasan dalam kalangan sebi­langan kecil umat Islam melibatkan pemahaman yang betul dan tajam terhadap sebab-sebab sebenar dalaman dan luaran mereka, de­ngan penggunaan pendekatan yang bijak dan konsisten serta pelbagai dimensi dalam pencegahan, pembetulan dan hukuman,” ujarnya.
Dalam dunia globalisasi, menu­rutnya, kesan radikalisme dan ekstremisme terhadap hubungan dan keselamatan antarabangsa tidak hanya terhad kepada umat Islam tetapi juga kepada mereka yang menganut agama lain dan ideologi sekular.
Beliau menarik perhatian kepada penjajahan Eropah di Amerika Latin, beberapa bahagian Afrika dan Asia telah dilakukan atas nama Tuhan dan negara, sedangkan semua tahu bahawa emas dan kekuasaan adalah tujuan sebenar di sebaliknya.
Begitu juga, Perang Dunia Pertama dan Kedua serta perang Korea dan Vietnam yang boleh dikaitkan terutamanya atas sebab-sebab ideo­logi; tragedi Balkan atas alasan etnik-agama; pembunuhan beramai-ramai di negara majoriti Kristian Rwanda didorong oleh fahaman berpuak; perang saudara Uganda disebabkan terutamanya oleh pe­nganut Kristian radikal; pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Ivory Coast oleh orang Asli dan Kristian akibat polemik etnik-agama.
Sama seperti golongan eks­tremis agama, Ahmad Zahid berkata, golongan liberal yang melampau tidak mewakili suara dan kesedaran majoriti di Malaysia dan di negara-negara lain.
“Dialog mereka dengan rakan-rakan bukan Islam dan Barat tidak sampai kepada golongan sasaran. Sebaliknya, dialog ini telah tergelincir daripada matlamat mulia mereka, malah meminggirkan dan meradikalisasikan sesetengah umat Islam,” katanya. – UTUSAN
-https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *