Home » Langit Terbuka » Sekretariat Zenith senarai 8 tuntutan kepada UNHRC

Sekretariat Zenith senarai 8 tuntutan kepada UNHRC

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia menjelaskan, tuntutan itu juga menggariskan perkara berkaitan sekatan dan diskriminasi ke atas pekerja Islam daripada melaksanakan tugas

GEORGETOWN – Sekretariat Zenith yang dianggotai tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggariskan lapan tuntutan yang akan diketengahkan dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) yang akan berlangsung di Geneva, Switzerland, Khamis ini.

Sekretariat itu dianggotai Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM); Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia serta Gerakan Peguam Muda Muslim.

Antara tuntutan itu ialah, hak orang kelainan upaya (CRPD); hak ekonomi, sosial dan budaya; masalah perumahan; hak pelarian untuk melalui Malaysia dan pembangunan pendidikan masyarakat Orang Asli.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata laporan mengenainya sudah pun dihantar kepada UNHRC, Mac lalu dan ia kini disenaraikan dalam Penyerahan Bersama (JS) nombor 19, selain penilaian prestasi hak asasi di Malaysia akan dinilai oleh negara luar berdasarkan dokumen berkenaan, Khamis ini.

“Kita juga menggariskan perkara berkaitan sekatan dan diskriminasi ke atas pekerja Islam daripada melaksanakan tugas, selaras kepada agama dianuti mereka dan hak untuk menguasai bahasa kebangsaan.

“Selain itu, Sekretariat Zenith turut menggariskan perihal kontrak paksaan yang tidak seimbang serta hak pesakit mendapatkan perubatan tradisional dan komplementari,” katanya ketika menghubungi NSTP di sini, hari ini.

Semua tuntutan itu akan dinilai pada Sesi Ke-31 Siri Ketiga Semakan Berkala Sejagat Hak Asasi Manusia 2018.

Beliau berkata, setiap tuntutan berkenaan sudah pun dikumpulkan oleh pihak UNHRC dan ia akan dihantar ke negara lain, termasuk Malaysia sebelum sebarang perkara berbangkit mengenainya dijawab.

Katanya, Malaysia akan memuktamadkan keputusan sama ada akan bersetuju atau sebaliknya terhadap mana-mana tuntutan yang diketengahkan dalam mesyuarat nanti.

“Kita juga turut melampirkan beberapa situasi yang menyebabkan semua tuntutan berkenaan disenaraikan, selain syor bagi masalah ini juga turut diketengahkan.

“Tuntutan ini adalah berdasarkan pemerhatian analitis dan perundingan berkaitan hak asasi manusia di Malaysia. Ia diperoleh daripada pelbagai sumber dan pengadu daripada kalangan orang awam,” katanya.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *