Home » Langit Terbuka » Sebat di penjara keputusan rasional

Sebat di penjara keputusan rasional

Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan berkata, hukuman sebatan boleh dilaksanakan di mana-mana atas perintah hakim yang mengendalikan kes berkenaan

KUALA TERENGGANU – Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu supaya pelaksanaan hukuman sebat terhadap ibu tunggal yang mengaku salah atas pertuduhan cuba melacurkan diri, dibuat sesuai dengan perintah hakim yang turut memenjarakan wanita itu.

Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan, Wan Abdul Malik Wan Sidek, berkata, hukuman sebatan boleh dilaksanakan di mana-mana atas perintah hakim yang mengendalikan kes berkenaan.

Beliau berkata, bagi kes ibu tunggal itu, hakim mengambil pendekatan bahawa hukuman sebat itu sesuai dilaksanakan di penjara kerana wanita berkenaan turut dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan.

“Berdasarkan hukuman diterima wanita berkenaan, keputusan Hakim Tinggi Syarie, Rosdi Harun memerintahkan sebatan itu dilaksanakan di penjara adalah rasional.

“Keputusan itu juga dimuktamadkan bagi mengelakkan kerja dua kali kerana wanita itu juga dipenjarakan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Khamis lalu ibu tunggal yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan selepas mengaku salah terhadap pertuduhan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman sebatan itu dilaksanakan di penjara tempat tertuduh ditahan iaitu di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Beliau juga memerintahkan hukuman itu dilaksanakan selepas tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan dikemukakan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu dituduh mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *