Home » Langit Terbuka » ‘Sebagai mufti, saya hanya mampu cegah kemungkaran dengan lisan’

‘Sebagai mufti, saya hanya mampu cegah kemungkaran dengan lisan’

Wan Salim.

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memaklumkan beliau akan terus menyuarakan pendapat yang dirasakan benar berdasarkan ilmu yang dikurniakan Allah kepada dirinya.

Wan Salim berkata, dalam usia yang mencecah 80 tahun, tiada apa yang beliau impikan lagi di dalam kehidupan ini selain keredaan Allah SWT.

“Sebagai seorang mufti saya hanya mampu mencegah kemungkaran dengan lisan (perkataan). Saya hanya mahu mendapat kemaafan Tuhan kerana telah melaksanakan kewajipan amar makruf nahi munkar.

“Saya tidak kisah jika nasihat yang diberikan hanya ibarat mencurah air di daun keladi.

“Sikap saya adalah seperti yang diceritakan di dalam al-Quran, surah al-A’raf, ayat 162 yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika suatu kumpulan dalam kalangan mereka (Bani Israel) berkata : Kenapa kamu menasihati suatu kaum yang Allah akan membinasakan mereka (di dunia) dan menyiksa mereka (di akhirat) dengan siksaan yang dahsyat? Mereka menjawab: agar kami ada alasan (telah melaksanakan tanggungjawab) kepada Tuhan kamu,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Wan Salim menasihatkan umat Islam di negara ini supaya memulau konsert artis popular dari United Kingdom (UK) yang akan diadakan di negara ini pada Februari nanti kerana artis tersebut dikatakan penyokong tegar komuniti Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Wan Salim juga meminta Kementerian Komunikasi dan Digital supaya membatalkan segera kebenaran untuk mengadakan konsert tersebut.

Bagaimanapun, penganjuran konsert artis antarabangsa itu, Ed Sheeran pada 24 Februari depan akan diteruskan seperti yang dijadualkan buat masa ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau juga telah merujuk mengenai perkara tersebut kepada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara.

Menurut Wan Salim, beliau tiada kemampuan untuk mengubah kemungkaran dengan tangan (kuasa), namun beliau masih mampu memberi nasihat kepada pihak yang ada kuasa.

“Terserahlah kepada pihak tersebut sama ada mahu menerima nasihat atau sebaliknya. Semua kita lambat laun akan kembali jua ke hadrat-Nya dan akan disoal tentang segala yang dilakukan semasa hidup di dunia,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *