KANGAR 4 April – Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tidak akan mengikut jejak langkah beberapa penceramah agama yang lain menyertai mana-mana parti politik seterusnya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tegasnya, pendirian tersebut adalah jelas dan muktamad untuk tidak menyertai atau menjadi calon Barisan Nasional (BN), Pas atau Pakatan Harapan.
“Saya hanya akan menjalankan tugas dengan sebaiknya sebagai seorang Mufti dan menegur parti kerajaan atau parti pembangkang sekiranya ada yang perlu ditegur untuk kebaikan umat Islam dan negara,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan Kitab Bulughul Maram di Masjid Alwi di sini malam tadi.
Desas- desus Mufti Perlis yang terkenal dengan panggilan Dr. Maza itu bakal menjadi ahli atau calon dalam PRU-14 bertiup kencang selepas dua rakannya, Dr. Maszlee Malik dan Wan Saiful Wan Jan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini.
Sebelum itu, bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya bertanding dalam pilihan raya di Sarawak dan kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng.
Sementara itu, Mohd. Asri menyeru kepada seluruh rakyat khususnya golongan muda supaya turun mengundi dan tidak memboikot pilihan raya.
“Pilihan raya adalah sistem terbaik yang ada untuk kita pilih pemerintah bukannya dengan cara keganasan sendiri seperti Arab Spring dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN
KOMEN