Georgetown: Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinacle, Tanjong Tokong, di sini, memohon maaf kepada penduduk dan masyarakat Islam mengenai isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di Surau Saidina Umar.
Permohonan maaf itu dilakukan Alex Low secara terbuka ketika sidang media berhubung isu berkenaan di kondominium terbabit hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor.
Beliau berkata, pihaknya sama sekali tidak berniat melarang laungan azan menggunakan pembesar suara di surau berkenaan.
“Saya juga mewakili Ahli Jawatan Kuasa (AJK) JMB memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Islam dan semua umat Islam mengenai isu ini.
“Secara peribadi juga saya memohon maaf jika ada perkataan menyinggung perasaan dan kami kesal serta kecewa kerana isu yang sepatutnya menjadi perbincangan dalam mesyuarat sudah menimbulkan salah faham,” katanya.
Mengulas lanjut, Alex berkata menerusi mesyuarat pada 9 Mei lalu, AJK JMB pihak pengurusan surau sudah mencapai persetujuan dan penyelesaian berhubung isu itu dengan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia serta laungan azan adalah bagi mendirikan solat.
“Jadi kami ingin jelaskan bahawa video berkenaan bukan mengenai laungan azan tetapi mengenai pemasangan pembesar suara di surau dan agenda yang diusulkan pada 12 Mac lalu itu, sudah ditarik balik kerana ia amat sensitif bagi dibincangkan malah video penarikan juga turut direkodkan.
“Sekali lagi kami dengan rendah diri memohon maaf supaya isu berkenaan tidak dibangkit semula bukan hanya di kawasan ini tetapi juga di Malaysia,” katanya yang turut meminta supaya video itu ditarik balik di media sosial bagi mengelak salah faham.
Harian Metro melaporkan mengenai video tular mesyuarat JMB itu yang mengaitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di surau berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin pada sidang media berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan serta menyelesaikan dan menggunakan cara diplomatik bagi selesaikan isu ini. – Harian Metro
KOMEN