Home » Langit Terbuka » “Saya kusut, lesu dan kecewa dengan perkembangan di Gaza” – Anwar

“Saya kusut, lesu dan kecewa dengan perkembangan di Gaza” – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan perkembangan dan situasi semasa keganasan yang berlaku di Gaza.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan perkembangan dan situasi semasa keganasan yang berlaku di Gaza.

Perdana Menteri berkata, perkara itu menyebabkan beliau berasa kusut dan lesu biarpun pelbagai usaha dilaksanakan Malaysia dalam menghentikan konflik di wilayah berkenaan.

“Dalam (lawatan kerja) di Riyadh, perkembangan mutakhir di Gaza, maklumatnya sangat tidak meyakinkan dan menggusarkan kita.

“Sepanjang malam (saya berfikir) dan hari ini berasa sangat terkesan kerana seolah-olah dunia ini menghampakan, bicara soal demokrasi, soal kemanusiaan dan menjadi manusia tinggi tamadunnya tetapi maruah dan nilai masih hambar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Dengan amanat yang ada padanya sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata, beliau sedaya upaya berdepan dengan pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

“Saya menyatakan bukan untuk memanaskan dan mempersulitkan hubungan dua hala sebaliknya menyatakan sikap sebagai seorang manusia, mengenai hipokrasi atau kepura-puraan untuk menyokong satu pihak dan menghina satu pihak.

“Kita di Malaysia ini, saya beritahu mereka, negara pelbagai kaum, pelbagai agama dan kerajaan MADANI pertahankan bersungguh-sungguh.

“Walaupun majoritinya Melayu Bumiputera, Islam agama Persekutuan, tetapi setiap denyut kesan yang dihadapi rakyat kita, sama ada Kristian, Hindu atau Buddha, itu menyentuh perasaan kita sebagai manusia dan ini yang saya faham sebagai seorang manusia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, amat malang sekali kerana ia bukan menjadi pandangan negara Barat yang kaya sehingga boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan apa yang berlaku di Palestin.

“(Mereka) tak mendengar jeritan anak kecil, tak melihat (jeritan) wanita dan membiarkan bulan demi bulan, hari demi hari, detik demi detik (keganasan terus berlaku.

“Saya zahirkan ini kerana apa yang saya dengar semalam di Riyadh, itu menyebabkan saya merasa kusut dan lesu,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berakhir semalam.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *